TVET: Peningkatan biasiswa usaha lahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi


Golongan pelajar diseru memanfaatkan peningkatan tawaran biasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan serta swasta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pertambahan penajaan tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus memenuhi keperluan industri negara.
"Akses pendidikan tinggi kini dijadikan sebagai medium mobiliti sosial utama untuk memutus kitaran kemiskinan keluarga B40 menerusi penerapan prinsip keadilan mengikut keperluan sebenar penerima.
"PTPTN menyediakan penajaan pendidikan percuma khusus untuk 10,000 pelajar keluarga berpendapatan paling rendah dan 3,000 kuota OKU, manakala KPT turut menjalin kerjasama strategik bersama KBS bagi menyediakan laluan khas pembiayaan dan kemasukan universiti buat atlet sukan negara," katanya dipetik laporan media.
Adam Adli berkata begitu ketika merasmikan Hari Biasiswa Tahun 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), Ayer Keroh.
Acara yang bermula semalam itu menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung, khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Program bertujuan memudahkan pelajar mendapatkan maklumat tepat mengenai peluang penajaan dan pembiayaan pendidikan tinggi, selain mendapatkan khidmat nasihat serta meneroka pelbagai laluan pendidikan yang bersesuaian.




Comments