
Pendidikan TVET biar pun baik kepada pelajar kerana menjamin peluang pekerjaan namun dilihat tidak menyediakan gaji yang lumayan pada sesetengah bidang kursus.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merealisasikan Malaysia Madani dan rakyat memperolehi pendapatan yang setimpal dengan pekerjaan, pendidikan TVET perlu diperbaiki kelemahannya.
Antaranya, beliau berkata, syarikat besar diminta melatih pelajar TVET untuk lebih cemerlang dan sesuai dengan alam pekerjaan yang bakal mereka akan tempuhi kelak.
"Sejak kita ambil alih, perkara yang baik kita teruskan. TVET yang ada sekarang majoriti lepasannya 90% dapat pekerjaan tetapi gaji RM2000. Tidak memuaskan.
"Sebab itu ada beberapa langlah baru. Sebab itu 40 - 50 TVET bekerjasama dengan syarikat besar. Petronas umpamanya, Batu Rakit, Kimanis, Pengerang, diambil alih (Petronas) dan latih. Supaya bidang pengkhususan dia (pelajar) tahu.
"Proton ambil alih TVET di Pekan. Kerana latihan yang diberi TVET Proton itu mampu dari segi penghususannya. Yang lain saya minta kerjasama tenaga pengajar (syarikat) dengan Kementerian Pendidikan," katanya dalam program Dialog Santai PM Bersama Pelajar Kolej Vokasional Langkawi, petang tadi.
PM mengakui kerajaan menyediakan dana yang banyak untuk latihan TVET iaitu RM6.7 bilion setahun.
Oleh itu TVET, katanya perlu diperbaiki untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi generasi muda.
Selain itu, Anwar juga mengingatkan kepentingan generasi yang berakhlak kerana itu adalah teras utama pendidikan. Iaitu melahirkan manusia yang punya adab, akhlak dan nilai.
"Kalau tanya saya bidang pendidikan untuk jadi jurutera, untuk jadi anak muda punya kemahiran termasuk TVET ya betul, tetapi asasnya manusia.
"Allah angkat darjat kita ini manusia. Ada beza antara manusia, kalau nilai buruk negara rosak, harta disakau, kekayaan dibolot oleh satu kalangan, kemudian masalah sosial membarah.
"Jurang antara kaya dan miskin melebar, khazanah negara tinggi tetapi di luar (bukan kroni) dipinggirkan. Sebab itu saya katakan nak bentuk manusia kena nilai, akhlak," katanya.
Dalam dialog itu juga PM menjawab pelbagai pertanyaan daripada para pelajar. Laporan mengenai kerosakan tandas di kolej berkenaan misalnya mendapat arahan untuk pembaikan segera kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut serta dalam dialog berkenaan.
Begitu juga mengenai pertanyaan seorang pelajar mengapakah PM sebagai Menteri Kewangan mengamalkan polisi belanjawan defisit.
Anwar menjawab dengan membandingkan defisit belanjawan tahun 2022 yang lebih besar. Biar pun katanya hutang RM1.5 trilion ketika ini namun beliau telah berjaya mengurangkan defisit, tetapi tetap memberi peruntukan yang besar kepada bidang pendidikan dan kesihatan untuk kemaslahatan rakyat.
Dialog anak muda itu dihostkan oleh Dr Taufiq Johari, Ahli Palimen Sungai Petani yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah.