Tutup pintu sempadan kepada penjenayah perang Zionis
- Redzuan Shamsudin
- Oct 14
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melalui Biro Hubungan Antarabangsa menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menutup pintu sempadan Malaysia daripada dimasuki penjenayah perang dan pelaku genosid yang mempunyai kaitan dengan tentera rejim Israel (IDF).
Dalam satu kenyataan hari ini, biro itu mengecam sekeras-kerasnya keganasan dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh IDF terhadap para aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla baru-baru ini.
"Apa yang berlaku merupakan sikap keganasan lazim yang lama diamalkan oleh tentera Rejim Zionis Israel seperti membunuh orang awam, pekerja kemanusiaan dan aktivis kedamaian — suatu perlakuan jenayah kemanusiaan dan genosid. IDF mestilah dilabel secara rasmi oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah pertubuhan pengganas," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, Malaysia perlu mengambil langkah tegas dengan mewajibkan setiap warga asing yang memasuki negara ini untuk mengisytihar status kewarganegaraan tersembunyi dan sebarang penglibatan dengan IDF, sebagaimana dilakukan oleh beberapa negara lain.
"Ini adalah tanggungjawab moral yang diiktiraf di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keadilan, kedamaian serta perlindungan kepada rakyatnya," ujarnya.
Biro itu juga menyeru Menteri Dalam Negeri untuk segera melaksanakan langkah berkenaan sebagai tindak balas terhadap penculikan tidak sah rakyat Malaysia oleh tentera Zionis di perairan antarabangsa, dalam insiden yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
"Malaysia berdasarkan prinsip moralnya, tidak boleh berkompromi dengan pelaku jenayah genosid. Melalui tindakan ini, Malaysia akan menghantar isyarat kepada dunia bahawa negara ini tidak akan melindungi pelaku jenayah perang dan akan terus berdiri bersama mereka yang berjuang menentang penindasan, serta mengangkat prinsip kemanusiaan di Palestin dan di serata dunia," kata kenyataan itu lagi.
KEADILAN turut menegaskan bahawa pendirian tegas ini selaras dengan nilai-nilai ihsan, integriti dan kemanusiaan yang menjadi dasar pentadbiran Kerajaan MADANI, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai negara berprinsip dan beretika di pentas dunia dalam memperjuangkan keadilan serta kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
Comments