
Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya menurunkan lagi harga siling kit ujian kendiri Covid-19 kepada RM5.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu menyifatkan harga siling yang RM19.90 yang ditetapkan masih terlalu tinggi dan membebankan rakyat, terutamanya golongan B40.
"Malahan, golongan M40 juga akan menghadapi masalah yang sama.
"Setiap unit kit ujian kendiri merupakan kit yang hanya dapat digunakan oleh seorang dan digunapakai sekali sahaja, ia tidak dapat diulang pakai. Dengan itu, nilainya akan hangus dalam sekelip mata.
"Keperluan dan permintaan untuk kit ujian kendiri ini amat tinggi pada masa kini dan ia akan terus meningkat, kerana ia merupakan kaedah yang paling cepat dan mudah untuk menyaring seseorang sama ada mereka telah dijangkit oleh virus Covid-19 atau sebaliknya," katanya.
Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH terdiri daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Batu Gajah, N Sivakumar, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris dan ADUN Maharani, Norhayati Bachok.
Jawatankuasa itu turut membidas tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz bahawa kerajaan hanya akan menurunkan harga siling hujung tahun ini.
"Ini membuktikan kerajaan tidak prihatin terhadap masalah rakyat, dan keputusan ini juga bercanggah dengan semangat Keluarga Malaysia.
"Harga yang sewajarnya untuk kita ini pada masa depan ialah sekitar RM5.00 dan harga ini wajar diperkenalkan pada hujung bulan November," katanya.
Comentários