Henti anjur rumah terbuka elak pembaziran wang, masa di tengah konflik Asia Barat
- Redzuan Shamsudin

- 30 minutes ago
- 1 min read

Arahan agar agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menganjurkan jamuan rumah terbuka pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini disokong banyak pihak.
Bagi Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun (gambar), amalan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sehingga sebulan wajar dihentikan berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu selepas meletusnya perang di Asia Barat yang boleh menjejaskan Malaysia.
Beliau berkata, tradisi rumah terbuka juga tidak diamalkan secara meluas di negara-negara Islam lain dan ianya perlu dinilai semula dalam konteks tradisi yang menganjurkan berbalas balas jamuan pada sepanjang bulan Syawal.
"Berhentilah mengadakan rumah terbuka sehingga sebulan Aidilfitri. Ini membazirkan masa berharga untuk bekerja dan wang ringgit," kata Shahbudin dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beliau menyokong langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan agar kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat.
Katanya, langkah itu wajar memandangkan situasi geopolitik global yang tidak menentu dan langkah berjimat sektor kerajaan.
Beliau juga mengaitkan keadaan tersebut dengan penderitaan rakyat di Gaza, Palestin yang menurutnya sedang berdepan kesukaran akibat konflik berpanjangan.
"Dunia sebelah sana (Asia Barat) berperang dan kebanyakan rakyat Palestin pula waktu ini ikat perut dengan batu menahan kelaparan. Elok kita bersolidariti dengan mereka," katanya.
Shahbudin turut berpandangan bahawa penganjuran rumah terbuka secara berlebihan boleh membawa kepada pembaziran, khususnya apabila melibatkan perbelanjaan besar untuk jamuan.
"Dari segi hukum, rumah terbuka yang terlalu berbelanja besar akan menyebabkan pembaziran dan hukumnya haram," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya menghentikan amalan pembaziran yang berasaskan tradisi semata-mata dan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih bermanfaat untuk pembangunan negara serta kebajikan umat.




Comments