top of page

SEKPUR kecam gerakan ‘tebuk atap’ di N Sembilan, pertahan Institusi Diraja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) mengeluarkan amaran keras terhadap percubaan menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’ yang mencetuskan ketidakstabilan di Negeri Sembilan.


Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata, hasil pemantauan di ruang siber serta maklumat yang diterima menunjukkan wujud percubaan terancang yang bukan sahaja mencabar mandat rakyat, malah disifatkan sebagai penderhakaan terhadap institusi Diraja.


"SEKPUR menegaskan bahawa sebarang tindakan membelakangi keputusan Dewan Keadilan dan Undang-Undang yang dipengerusikan DYMM Tuanku Mukhriz adalah satu bentuk penderhakaan.


"Keputusan berkaitan isu tertentu telah pun dimuktamadkan, maka sebarang usaha menggugat kedudukan institusi tersebut adalah tidak sah dan menghina kedaulatan Adat Perpatih," katanya dalam satu kenyataan.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan kekesalan terhadap pemimpin UMNO Negeri Sembilan yang didakwa bekerjasama dengan Perikatan Nasional demi kepentingan tertentu.


"SEKPUR mengingatkan bahawa tindakan ini adalah pelanggaran disiplin parti yang nyata kerana ia dibuat tanpa restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.


Dalam masa sama, SEKPUR menegaskan bahawa kestabilan politik amat penting pada waktu ini ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi global, termasuk kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga minyak akibat konflik antarabangsa.


"Dengan baki masa kurang setahun sebelum pilihan raya umum diadakan, sebarang gerakan menukar kerajaan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif terhadap denyut nadi rakyat," ujarnya.


Sehubungan itu, SEKPUR menyeru orang ramai terutama warga Negeri Sembilan agar tidak terpengaruh dengan naratif yang disifatkan sebagai propaganda, sambil memberi jaminan akan menggerakkan kekuatan media sosial bagi mendedahkan dalang di sebalik gerakan berkenaan.


"Kami akan menggerakkan seluruh aset digital kami di setiap platform untuk mendedahkan kepincangan dan dalang di sebalik gerakan ini sehingga ke akar umbi," tegasnya.


Dalam pada itu, SEKPUR turut menyatakan pendirian untuk terus menyokong prinsip Barisan Nasional dan UMNO dalam menolak sebarang usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.


"Negara memerlukan kestabilan untuk memacu ekonomi. Kami memberi amaran kepada pihak yang cuba bermain api agar segera menghentikan gerakan ini sebelum berhadapan dengan kemarahan rakyat di medan digital dan realiti," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page