Turunkan kandungan TikTok: Kawal isu mudarat, tidak sekat kebebasan
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Langkah kerajaan yang kini berusaha untuk mengawal dan menurunkan kandungan sensitif di TikTok dan platform media sosial lain perlu disokong dengan langkah pendidikan dan kesedaran bagi membentuk masyarakat lebih bertanggungjawab di ruang digital.
Penyelaras pertubuhan Media Komunikasi Johor (MyKOM), Faizul Abdul Ghani (gambar) berkata, selain kawalan dan penguatkuasaan yang berperanan penting mengekang penyebaran kandungan berunsur hasutan, fitnah dan kebencian, aspek pendidikan literasi media dan kesedaran perlu diperkukuh bagi memberi kefahaman kepada rakyat tentang penggunaan media sosial secara beretika.
"Menurunkan kandungan hanyalah langkah segera. Jika perlu tindakan tegas kepada platform itu akan diambil - maka ia perlu diambil.
"Kita berharap agar orang ramai faham bahawa menurunkan kandungan tersebut bukan bermakna menyekat kebebasan bersuara, tapi mengawal kandungan berbahaya dan mengancam.
"Kita berharap tak ada mana-mana pihak cuba manipulasi isu ini. Kerana langkah kementerian adalah untuk keselamatan dan manfaat bersama," kata Faizul kepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas amaran Kementerian Komunikasi berdasarkan kenyataan menterinya, Datuk Fahmi Fadzil bahawa platform media sosial TikTok boleh dikenakan tindakan undang-unda jika gagal melaksanakan tindakan sewajarnya untuk menangani jenayah dalam talian.
Menurut Fahmi, setakat ini platform tersebut antara lain masih gagal menyediakan moderator mencukupi untuk mengawasi dan menilai kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.
Meskipun pengendali platform itu telah menurunkan sejumlah 76,002 kandungan yang bertentangan dengan garis panduan mereka sejak Januari lalu, namun 10,730 kandungan lagi yang diminta untuk diturunkan oleh pihak kementerian gagal dipatuhi.
Dalam pada itu, Faizul yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pengerang berkata, program kesedaran digital perlu diperluas melalui kerjasama dengan sekolah, universiti dan pertubuhan masyarakat sivil.
Katanya, penyelesaian jangka panjang memerlukan pembentukan kesedaran digital, terutama dalam kalangan generasi muda supaya mereka tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan kandungan yang boleh mengancam ketenteraman awam.
"Sebagai contoh di Johor baru-baru ini berlaku bencana gempa bumi. Respon pihak berkuasa agak lambat menyebabkan sedikit panik di kalangan orang ramai. Maka kerja penerangan, komunikasi perlu diaktifkan di kalangan agensi dan jabatan.
"Selain kerajaan, NGO dan masyarakat juga ada peranan penting. Platform komunikasi seperti WhatsApp atau TikTok bukan sahaja tempat bersosial, tetapi boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat sahih terus kepada komuniti. Dengan cara ini, berita palsu dapat ditangkis sebelum menular.
"Pengguna juga digalakkan melaporkan sebarang kandungan mencurigakan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), selain kepada pihak berkuasa berkaitan kes berkenaan," ujarnya lanjut.
Comments