Turunkan harga barang, utamakan beli produk tempatan
- Suara Keadilan

- Aug 31, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kenaikan harga barang yang dialami oleh rakyat hari ini sesetengahnya berpunca daripada produk import atau komponen import yang di luar kawalan kerajaan untuk menanganinya.
Sehubungan itu, sempena Hari Kebangsaan ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyeru rakyat Malaysia bersikap patriotik dengan mengutamakan produk buatan tempatan sekiranya terdapat pilihan.
Mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kebergantungan tinggi terhadap produk import sejak sekian lama mengakibatkan negara terpaksa membelanjakan sehingga RM 75 bilion setahun bagi menampung keperluan rakyat.
"Tahun lalu sahaja kerajaan membelanjakan RM75 bilion barangan import, jadi saya fikir kita perlu fokuskan kepada pasaran tempatan.
"Ia juga dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk makan produk tempatan dan mewujudkan lebih banyak pasaran tempatan," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat membantu pengguna mendapatkan harga barangan yang lebih berpatutan, bahkan ia dapat membantu mengurangkan masalah inflasi daripada terus membebankan rakyat.
"Kebanyakan barangan import mentah dipengaruhi harga pasaran global seperti bawang dan tepung gandum.
"Jadi untuk mengawal masalah inflasi, rakyat Malaysia perlu mengutamakan barangan tempatan," ujarnya lagi.
Sementara itu, kelmarin, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan bahawa kerajaan membangunkan satu kertas dasar yang bertujuan mengkaji dan mengurangkan Approved Permit' (AP) dan Import Permit (IP) bagi menurunkan harga barang terutamanya barangan import.
Jelasnya, kertas dasar itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada awal Oktober ini.




Comments