Turun Anwar: Retorik jalanan berbeza dengan realiti pentadbiran - AMK Kelapa Batas
- Suara Keadilan

- Jul 28
- 2 min read

Pembangkang mudah mewujudkan pelbagai retorik jalanan untuk memburuk burukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Namun, menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kepala Batas, Uzair Mohd Fadzli, untuk merealisasikan pentadbiran yang berkualiti dan memenuhi janji pilihanraya bukanlah suatu tugas yang mudah dan bukan semua pemimpin memiliki keupayaan merealisasikannya.
Hal itu, kata beliau, terbukti sepanjang pemerintahan Perikatan Nasional pada 2020 - 2022 lalu yang jauh lebih buruk daripada pentadbiran Anwar yang disuruh 'turun' oleh PN pada waktu ini.
Katanya, yang paling lantang menuduh sekarang inilah yang pernah diberi ruang dalam kerajaan tetapi gagal untuk memperbaiki sistem.
Sedangkan, kata Uzair, hari ini Kerajaan Perpaduan telah berjaya memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mereformasikan subsidi pukal kepada bersasar, dan Parlimen tidak lagi menjadi ‘rubber stamp’ meluluskan arahan kerajaan.
"Jika ini bukan reformasi, maka apa namanya? Inilah keberanian merombak sistem dari dalam ketika ramai lain memilih jalan selamat dan diam.
"Buktinya, pelbagai keputusan yang tidak popular telah dibuat demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara. Antaranya, penyasaran subsidi diesel dan tarif elektrik bagi mengekang ketirisan serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
"Begitu juga dengan peluasan skop SST sebagai langkah pemulihan fiskal negara. Semua ini memerlukan keberanian dan bukan populisme kosong," katanya dalam kenyataan menjawab tulisan Dr Afif Bahardin bertajuk “Dari Bebas Anwar kepada Turun Anwar” cuba melemparkan tuduhan bahawa YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meninggalkan prinsip Reformasi.
Pada sisi lain, kata Uzair, ekonomi negara juga semakin kukuh. Pertumbuhan ekonomi suku pertama 2025 meningkat kepada 4.4%, berbanding 4.2% pada tahun sebelumnya. Kadar pengangguran menurun kepada 3.1%, satu petunjuk bahawa pasaran buruh berada dalam keadaan optimum.
"Dalam teori ekonomi moden, kadar pengangguran di bawah 4% sudah pun dianggap berfungsi secara maksimum kerana penurunan kepada 0% adalah hampir mustahil.
"Manakala soal kejatuhan nilai ringgit perlu difahami dalam kerangka global. Nilai mata wang bukan sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
"Walaupun bank pusat mampu menggunakan rizab antarabangsa untuk campur tangan, namun sistem pertukaran di Malaysia adalah apungan bebas, yang terdedah kepada suhu ekonomi dunia. Oleh itu, memperdebatkan nilai ringgit semata-mata tanpa memahami struktur dinamik ekonomi antarabangsa hanyalah gimik politik," ujarnya.
Bagaimanapun perkara lebih penting, kata beliau, kerajaan telah bertindak proaktif dengan memperluas Jualan Rahmah, menyusun semula subsidi, menaikkan gaji minimum dan menyalurkan bantuan tunai untuk meringankan impak jangka pendek ketidaktentuan ekonomi kepada rakyat.
Bagi jangka panjang pula, pelbagai dasar telah dilaksanakan seperti dasar gaji progresif, pemerkasaan TVET, dasar tenaga baharu, pengurangan ketidakseimbangan pendapatan dan pelaksanaan RMK-12.
Oleh itu, katanya, pembangkang perlu lebih cermat menilai perubahan yang dibawa oleh PMX berasaskan fakta.
"Apa yang gagal dilakukan (PN) ketika dahulu waktu punya kuasa, janganlah pula disyarahkan semula setelah hilangnya kedudukan.
"Rakyat tidak menilai dengan teori. Mereka melihat siapa yang bekerja, dan siapa yang hanya bising.
"Selagi Kerajaan MADANI kekal berprinsip dan bekerja dengan ikhlas, rakyat akan terus bersama Kerajaan MADANI," katanya lagi.









Comments