top of page

Turun Anwar penuh fitnah, 'Kekal Anwar' hingga PRU16 - SBP

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 27
  • 2 min read

SBP - NGO dan parti politik menghantar memo jawapan 'Kekal Anwar' kepada tuduhan pembangkang
SBP - NGO dan parti politik menghantar memo jawapan 'Kekal Anwar' kepada tuduhan pembangkang

Oleh: Azuan Ab Rahman


Sekretariat Bela Pertiwi (SBP) kumpulan NGO pro Reformasi dan pertubuhan sosial menyerahkan memorandum ke Pejabat Pas Selangor petang semalam bagi menjawab sembilan dakwaan tidak berasas yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri oleh pihak pembangkang.


Menurut mantan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, tuduhan yang direka mengajak rakyat turun berdemonstrasi Turun Anwar hanyalah retorik politik tanpa fakta dan bukti, semata-mata untuk mencipta persepsi negatif terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Kesemua sembilan perkara yang dijadikan alasan untuk mengadakan himpunan bersifat fitnah dan propaganda murahan.


"Justeru, saya senaraikan sepuluh sebab mengapa Anwar wajar terus memimpin negara hingga Pilihan Raya Umum (PRU) 16," katanya dalam satu kenyataan.


Antara kejayaan utama Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, ujar beliau, ialah pemulihan kewangan negara secara berperingkat.


"Rizab antarabangsa meningkat daripada AS$113.5 bilion (Nov 2022) kepada AS$116 bilion (Julai 2025). Hutang warisan RM1.5 trilion sedang diurus dengan berhemat, termasuk bayaran RM46.5 bilion hutang tertunggak," jelasnya.


Beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan memansuhkan subsidi, sebaliknya menegaskan bahawa ianya disasarkan kepada golongan layak bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.


"Harga barangan asas kekal stabil. Subsidi diteruskan untuk minyak masak, RON95, diesel bersasar, LPG, beras, elektrik, rawatan MADANI dan bantuan persekolahan.


"Program SARA diteruskan dan insentif khas RM100 kepada semua rakyat 18 tahun ke atas akan bermula 31 Ogos ini," ujarnya.


Selain itu, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluas menurut beliau tidak membebankan kerana keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan terus dikecualikan.


Kerajaan juga telah menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15% secara berperingkat serta melaksanakan gaji minimum RM1,700, termasuk di sektor swasta.


Mohd Fakhrulrazi turut menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap reformasi, sambil menolak tuduhan bahawa pentadbiran Anwar menyekat kebebasan bersuara.


"Tiada sekatan terhadap media. Tiada aktivis disiasat atau didakwa kecuali dalam kes fitnah melibatkan isu 3R yang jelas melanggar undang-undang," tegasnya.


Beliau menyelar dakwaan pembangkang kononnya kerajaan meremehkan Islam, Raja-Raja dan kedaulatan negara, sedangkan isu-isu seperti pertikaian sempadan laut Ambalat masih dalam rundingan, saham MAHB kekal 70% milik KWSP, dan keputusan penggunaan kalimah Allah dibuat semasa pentadbiran Muhyiddin.


"Adendum pengampunan juga masih dalam proses mahkamah dan PMX tidak boleh mencampuri urusan itu," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menyifatkan Himpunan “Turun Anwar” hanya dipenuhi dendam politik, tanpa sebarang solusi untuk rakyat.


"Rakyat perlu kekal bersama kepimpinan PMX yang stabil, inklusif dan berintegriti. Demi masa depan yang lebih terjamin, Anwar wajar dikekalkan sehingga PRU16 di bawah kerangka Malaysia MADANI," kata Fakhrulrazi menerusi kenyataan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page