PBAKL 2026: Fadhlina lancar Kelab Perempuan Membaca
- Suara Keadilan

- 44 minutes ago
- 1 min read

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Sabtu melancarkan Kelab Perempuan Membaca Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pelancaran inisiatif tersebut yang bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Menurutnya, penubuhan kelab tersebut bertujuan menghimpunkan seramai mungkin wanita yang mencintai buku termasuk golongan ibu, gadis muda dan kanak-kanak perempuan yang gemar membaca.
"Paling utama, ia adalah ruang penting untuk memastikan akses kepada bahan bacaan tidak akan putus walau apa jua rempuhan dan tribulasi yang melanda," katanya dipetik.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN sementara itu optimis Malaysia mampu menjadi sebuah “Kota Baca” dalam tempoh 20 tahun akan datang sekiranya agenda memartabatkan budaya ilmu terus diperkasa.
Bagi merealisasikan hasrat itu, komitmen memupuk budaya ilmu di peringkat awal persekolahan perlu terus diperkukuh menerusi pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah yang memberi penekanan kepada aktiviti pembacaan bersama.
"Bayangan sebuah Kota Baca adalah apabila masyarakat kita bertemu, ruang perbualan mereka bukan lagi sekadar bertanya khabar kosong sebaliknya bertukar-tukar pandangan mengenai buku apa yang sedang dibaca.
"Potensi ini mampu dicapai sekiranya setiap wanita di negara ini mula menggerakkan usaha kecil dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca," katanya.




Comments