Anwar PM paling serius santuni tuntutan MA63 - Majlis Belia Sabah
- Azuan Ab Rahman

- 39 minutes ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang paling serius dalam menyantuni tuntutan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap agenda MA63 ketika ini dapat dilihat melalui pelbagai keputusan dasar, rundingan dan komitmen kewangan yang disifatkannya lebih jelas berbanding pentadbiran terdahulu termasuk menerusi peningkatan bayaran interim khas negeri itu sehingga RM1.5 bilion.
"Isu berkaitan MA63, formula 40 peratus hasil negeri, autonomi, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas telah lama diperjuangkan oleh pelbagai pihak di Sabah.
"Ada yang memulakan rundingan, ada yang membuka ruang perbincangan dan ada yang melaksanakan sebahagian tuntutan.Namun jika kita lihat secara menyeluruh, sukar untuk menafikan bahawa era PMX memperlihatkan komitmen yang jauh lebih jelas, agresif dan konsisten terhadap agenda Sabah dan Sarawak.

"Era pentadbiran Anwar memperlihatkan kesungguhan politik yang lebih ketara apabila beberapa tuntutan negeri mula diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, PM Datuk Seri Anwar mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 billion.
Jelasnya, peningkatan itu sementara menunggu perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian dan kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti dalam MA63 dimuktamadkan.
"Perkembangan paling signifikan dicapai di bawah Kerajaan MADANI ialah peningkatan bayaran interim khas kepada Sabah - meningkat daripada RM300 juta kepada RM600 juta sebelum dinaikkan kepada RM1.25 bilion dan terkini RM1.5 bilion.
"Setakat ini belum pernah ada Perdana Menteri yang meluluskan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sabah dalam konteks tuntutan 40 peratus hasil negeri," ujar Nur Helmie.




Comments