Turun Anwar: 'Kehadiran jauh tersasar, pembangkang hilang bisa'
- Suara Keadilan

- Jul 27
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Antara perbahasan yang belum berkesudahan sehingga saat ini berkaitan himpunan 'Turun Anwar' ialah berapakah sebenar jumlah yang hadir dalam himpunan anjuran pembangkang di Dataran Merdeka semalam?
Dalam beberapa laporan media, angka yang banyak disebut ialah antara 15 ribu hingga 25 ribu orang.
Polis Kuala Lumpur pula menganggarkan jumlah yang hadir adalah seramai 18 ribu orang.
Katalah kita ambil angka paling tinggi dalam semua laporan itu iaitu 25 ribu - ini sebenarnya masih tidak menepati jangkaan blok pembangkang sendiri.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan menjangka kehadiran 50 ribu orang, sementara Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula meramalkan 300 ribu.
Jika ramalan Ketua Pemuda Pas itu diambil kira, lalu dirujuk dengan kehadiran paling tinggi sebagaimana angka dilaporkan media iaitu 25 ribu, hakikatnya jumlah yang hadir tidak pun sampai 10 peratus daripada apa yang dijangkakan.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa gambar yang dipaparkan seperti memperlihatkan jumlahnya lebih besar daripada itu?
Peserta padat di jalan tengah kota
Harus disedari, peserta himpunan semalam adalah berarak di jalanraya daripada Kompleks Sogo hingga ke Dataran Merdeka.

Jalanraya Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) adalah jalan dua lorong yang dipenuhi kedai-kedai di kiri kanannya.
Dengan beramai-ramai berkumpul di jalanraya yang tidak begitu lebar itu, memangnya jumlahnya kelihatan padat.
Bagaimanapun apabila peserta himpunan berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad selepas jam 4.00 petang maka tiada peserta lain yang melimpah di jalan TAR atau ke arah Bank Negara sebagaimana pemandangan biasa dalam himpunan BERSIH sebelum ini untuk jumlah kehadiran dianggar melebihi 50 ribu.
Di samping itu, memandangkan semalam juga adalah hari Sabtu, kawasan sekitar Jalan TAR itu, seperti hujung minggu yang lain memang sentiasa dipenuhi pengunjung dan orang ramai yang ingin membeli-belah.
Campuran semua itu, maka kelihatanlah ianya seolah-olah sangat ramai.
Dengan itu, angka 25 ribu kehadiran yang disebut oleh media mungkin adalah amat munasabah sekali.
Rumusannya 'Jomlah' kehadiran peserta semalam jauh tersasar daripada yang dicanang-canangkan sebelum ini. Ini secara langsung dapat disimpulkan aura barisan pimpinan pembangkang tidak lagi menyengat. Atau sengat mereka kini tidak lagi berbisa.
Namun demikian, apakah pihak Kerajaan Madani perlu bersenang hati dengan kehadiran yang tidak mencapai sasaran itu?Sudah tentu jawapannya - tidak.
Khidmat terbaik
Kerajaan Madani pimpinan PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan terus berusaha memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat sebagaimana sudah banyak program-program bantuan dan reformasi dalam kerajaan dilakukan sebelum ini.
Segala cabaran dan dugaan adalah pendorong untuk Kerajaan Madani tampil lebih baik dan lebih bersemangat lagi, bukan penyebab untuk lemah semangat.









Comments