Turun Anwar: Himpunan 'sakit hati' musuh PM tanpa hala tuju
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Seperti yang dicanang-canangkan pihak pembangkang akan mengadakan himpunan 'Turun Anwar' pada hujung minggu ini.
Secara umumnya ia diadakan untuk 'menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Anwar' yang didakwa mengecewakan.
Beberapa isu diketengahkan sebagai sebab mengapa himpunan itu diadakan. Antaranya konon kegagalan menurunkan kos sara hidup rakyat, janji Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dimungkiri, harga barang naik tapi gaji tidak naik, perlaksanaan Akta Pembangunan Bandar (URA), kronisme dan nepotisme semakin parah, dasar pendidikan dan kesihatan awam makin terabai, semangat reformasi dikhianati, ketirisan masih berleluasa, negara tiada hala tuju ekonomi jelas dan pelbagai lagi.
Dengan deretan alasan yang ditonjolkan itu, mereka mengajak sesiapa sahaja yang tidak puas hati terhadap kerajaan agar turun menyertai himpunan tersebut.
Isu dibantah telah, sedang ditangani
Namun jika kita rasional, semua isu yang dibangkitkan itu sama ada sudah ditangani atau dalam proses untuk diselesaikan.

Pengumuman bantuan RM100 untuk membeli barangan di kedai-kedai terpilih serta menurunkan harga minyak daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter sebagaimana diumumkan PM semalam adalah pendekatan yang jelas untuk menurunkan kos sara hidup dan menunaikan janji PRU15 lalu.
Sudah tentu banyak lagi janji lain tetapi yakinlah kerajaan sedang secara perlahan-lahan menyelesaikannya.
Masalah pendidikan dan kesihatan awam juga sedang diselesaikan di mana kerajaan kini giat membina sekolah, hospital dan menambah pengambilan doktor. Semua ini memerlukan masa untuk dilihat hasilnya.
Bagi mengatasi isu kaum dan agama pula, kerajaan telah memperkenalkan larangan menyentuh isu-isu 3R dan dapat dilihat sejak ia dikuatkuasakan, keadaan nampaknya lebih terkawal.
Begitu juga dengan isu-isu lain, ianya turut dalam pemerhatian Kerajaan Madani dan hanya menunggu masa untuk diselesaikan.
Himpunan tiada asas jelas
Oleh yang demikian, kecuali kerana sakit hati atau dendam terhadap kepimpinan Anwar, pembangkang sebenarnya tiada asas untuk berhimpunan mendesak Perdana Menteri turun daripada jawatannya.
Kalau mahu menurunkan Perdana Menteri, saluran yang betul ialah sama ada undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau ketika Pilihan Raya Umum ke 16 nanti.
Oleh itu, kepada rakyat yang matang eloklah berehat atau bawa keluarga bercuti pada 26 Julai ini.
Lagi pun cuaca sedang berjerubu, tidak bagus untuk kesihatan apabila berhimpun di tempat awam yang terbuka.
Jangan dipersia-siakan masa santai kalian. Malaysia Madani pimpinan PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berada di landasan yang betul mengembalikan kegemilangan negara hingga ke pentas dunia.
Maknanya tiada sebab untuk 'Turun Anwar'.









Comments