Turun Anwar: Himpunan alih isu kegagalan pembangkang laksana tanggungjawab
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Pembangkang dalam sesebuah negara demokrasi memainkan peranan semak imbang terhadap kerajaan memerintah.
Malangnya, Perikatan Nasional (PN) di Malaysia lebih kepada memainkan isu agama dan perkauman sempit serta tidak berjaya menjadi pengkritik yang baik kepada kerajaan dalam isu ekonomi, politik antarabangsa atau memajukan negara mengikut kerangka teknologi masa hadapan.
Bagi Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Muhammad Izuan Ahmad Kasim (gambar), pembangkang yang gagal memainkan peranan pada waktu ini cuba mengalihkan isu dengan menghimpunkan ribuan pengikut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur di atas beberapa alasan remeh termasuk saman sivil ke atas beliau.
"Pembangkang (sebenarnya) hanya berminat isu politik berbanding isu rakyat, sebab mereka gagal memahami kehendak rakyat," kata Izuan mengulas tindakan PN yang mahu berdemonstrasi pada 26 Julai ini mendesak PM berundur.
Sehubungan itu, kata Ahli Dewan Negeri Kota Damasara itu, rakyat perlu mengambil kira kejayaan dua tahun pemerintahan Kerajaan Madani sebelum menghabiskan masa dan tenaga mengikut seruan pembangkang untuk turun menunjuk perasaan.
Kata beliau, peningkatan pelaburan asing, peluang pekerjaan meningkat, kakitangan awam diberi kenaikan gaji dan ekonomi serta harga barangan stabil adalah bukti muktamad kejayaan pentadbiran PM Anwar.
"Faktanya, kebajikan rakyat dan ekonomi negara diuruskan dengan baik (ketika ini) berbanding ketika merek (PN) menjadi kerajaan yang gagal untuk selesaikan isu perut rakyat,'' bidas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Oleh itu, dengan desakan menjatuhkan PM sedia ada maka rakyat perlu memikirkan adalah PM daripada pembangkang akan memerintah lebih baik daripada Datuk Seri Anwar.
Berdasarkan rekod, pentadbiran PM Muhyiddin Yassin pada 2020 - 2021 lalu penuh kegagalan dengan rakyat 'terpenjara' selama setahun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, insiden bunuh diri tinggi akibat tekanan ekonomi dan terdapat kempen 'kita jaga kita' juga menaikkan bendera putih agar pihak berkuasa datang menghulurkan bekalan makanan.
Persoalannya, adakah rakyat Malaysia mahu negara kembali ke era kesusahan melampau seperti itu.