Turun Anwar: Gimik murahan pembangkang untuk kekal relevan
- Suara Keadilan

- Jul 18
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Demonstrasi yang dirancang pembangkang pada 26 Julai bukan sekadar tiada hala tuju, namun dianggap taktik politik murahan kelompok kecil yang terpinggir dalam proses demokrasi untuk kekal relevan.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, himpunan dirancang pembangkang itu tidak mewakili suara rakyat tetapi pihak yang mahu menafikan mandat diberikan secara sah kepada kerajaan MADANI .
"Ini helah sekumpulan kecil yang mahu menebus kegagalan mereka di peti undi melalui jalan pintas, ia bukan gerakan rakyat.
"Malaysia perlukan kestabilan dan kematangan politik. Jika mahukan perubahan, tunggulah pilihanraya atas semangat rakyat yang memilih dengan waras dan terbuka," katanya dipetik.
Shamsul berkata begitu pada ucapan di Forum Ekonomi Kebangsaan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu beliau menegaskan, tiada keperluan pembangkang mahu mengadakan himpunan tersebut memandangkan Malaysia kini dipimpin seorang tokoh yang mengutamakan usaha pembinaan negara.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menumpukan usaha membaik pulih institusi, menstabilkan fiskal negara dan memperkenalkan pembaharuan yang tertangguh sekian lama akibat kelemahan pentadbiran sebelum ini.
"Beliau turut berjaya mengangkat imej Malaysia di mata dunia, termasuk kejayaan menganjurkan dialog diplomatik tertinggi melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia baru-baru ini.
"Ini pencapaian diplomatik yang membanggakan. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai pemain penting serantau di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim — terkawal, berprinsip dan fokus kepada perkhidmatan rakyat," ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru rakyat menilai kejayaan dicapai kerajaan agar tidak mudah terhasut dengan sandiwara pembangkang yang hanya mahu mengganggu kestabilan dan keamanan yang sedang dinikmati semua.









Comments