Hinaan, provokasi agama perlu tindakan tegas - Syahredzan
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan (gambar) mengutuk perbuatan seorang individu yang didakwa menghina simbol agama Hindu dengan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan segera.
Beliau dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius insiden tersebut, sama seperti kecamannya terhadap perbuatan menghina kitab al-Quran pada bulan lepas.
"Dilaporkan di media bahawa seorang individu telah menghina simbol agama Hindu iaitu ‘Trisula’ yang telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu. Insiden ini juga telah menyebabkan laporan polis dibuat terhadap individu tersebut.
"Saya memandang serius insiden ini dan mengutuk keras tindakan yang melampau ini, sama seperti kecaman saya terhadap penghinaan ke atas kitab suci Al-Quran bulan lepas," katanya.
Pada 26 Februari lalu, Syahredzan mengeluarkan kenyataan mengutuk keras tindakan seorang mahasiswa yang dilaporkan menghina agama Islam dan memijak kitab suci Al-Quran.
Namun segelintir netizen di media sosial membawakan naratif wakil rakyat DAP berdiam diri berkaitan isu tersebut sebaliknya memberikan kecaman apabila melibatkan penghinaan simbol Hindu.
Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama perlu dijaga dengan perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan.
Katanya, sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Tambah beliau isu penggunaan tanah dan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan tidak sama sekali mewajarkan tindakan seperti ini.
"Saya menggesa supaya pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan dengan kadar segera termasuk menyiasat insiden ini memandangkan laporan polis juga telah dibuat.
"Jika tidak, keyakinan orang ramai ke atas pihak berkuasa akan terhakis dan ada pihak yang mengambil tindakan sendiri (take the law into their own hands).
"Kita tidak mahu negara kita terjerumus dalam kancah huru-hara dan kacau-bilau disebabkan oleh pihak-pihak tertentu," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau mengulangi gesaannya agar pihak Kerajaan terutamanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan untuk bersama-sama merangka program untuk memperbanyakkan aktiviti di kalangan anak muda pelbagai bangsa dan agama.
"Saya juga mengulangi seruan supaya suatu perjumpaan diadakan di kalangan wakil-wakil agama untuk meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini.
"Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara. Ini tanggungjawab kita bersama," katanya.




Comments