top of page

Polis kawal rumah Cikgu Chandra, bahaya sentimen isu 3R

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 26 minutes ago
  • 2 min read

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berada di rumah aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra sejak semalam bagi mengawal keadaan serta memastikan keselamatan keluarganya sebelum tercetus insiden tiga kereta miliknya dibakar pada awal pagi tadi.


Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz (gambar) berkata pihaknya yakin polis sedang menjalankan siasatan secara serius dan akan menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam masa terdekat.


"Kes tiga kereta milik Cikgu Chandra yang dibakar awal pagi tadi seperti dilaporkan media tempatan jelas menunjukkan betapa berbahayanya apabila isu kaum dan agama terus dimainkan tanpa tanggungjawab.


"Dua-dua pihak tidak akan terlepas apabila sentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) terutamanya ke arah rusuhan kaum," katanya dalam hantaran di Facebook.


Laporan media tempatan menyebut tiga kereta milik Cikgu Chandra atau nama sebenarnya S Chandrasegaran, 47, terbakar dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali.


Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang memuat naik gambar kereta terbakar di Facebook berkata kejadian berlaku pukul 3 pagi tadi menyaksikan ketiga-tiga kereta Cikgu Chandra dibakar.


Jelasnya pasukan polis dan bomba sampai cepat untuk memadam api dan mengawal keadaan.


Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki bertopeng hitam dengan bersenjata parang bertindak memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.


Serangan itu berlaku beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth diserang sekumpulan lelaki ketika berada dalam keretanya.


Syam Ghaz berkata sebelum ini segelintir pihak beria-ia salahkan polis menangkap tangkap individu yang terbabit dalam isu pertikaian rumah ibadah tidak sah sedangkan pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas menjaga keselamatan.


"Kini polis juga dicari. Jadi jangan terburu-buru menyalahkan polis kerana mereka sedang melakukan kerja mereka.

Bila operasi dijalankan nanti, biasanya bukan seorang dua semua yang terlibat akan diangkut sekali," ujarnya.


Katanya kerajaan sejak sekian lama mengingatkan bahaya bermain dengan isu 3R; kaum, agama dan institusi raja.


"Negara ini dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama dan semua berhak hidup dengan aman tanpa rasa takut," katanya.


Namun malangnya jelas Syam Ghaz terdapat segelintir pihak terus meniup sentimen kaum dan agama selain ada segelintir ahli politik yang menunggang isu seperti ini untuk keuntungan politik.


"Bila budaya saling menghina dan memperlekeh agama serta kaum lain dibiarkan, ia pasti mengundang reaksi balas.

Sekarang kita melihat sendiri bagaimana bahangnya semakin panas," jelasnya.


Dalam hal ini kata Syam Ghaz, polis sudah tentu akan bertindak dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.


"Ketika ada kumpulan yang ingin merobohkan kuil, mereka tidak memikirkan ancaman terhadap keselamatan diri sendiri atau kesan kepada keharmonian kaum.


"Walhal negara ini ada undang undang, biar Pihak Berkuasa Tempatan dan polis yang uruskan dan bukan bertindak sendirian dengan kepala sendiri," ujarnya.


Sebaliknya kata beliau, terdapat pihak menyalahkan polis apabila tindakan diambil terhadap mereka.


Bagaimanapun, apabila timbul ancaman balas daripada pihak lain, segelintir pihak pula mengkritik polis kononnya lambat bertindak sedangkan sejak semalam polis yang kawal dan pastikan keselamatan keluarga Cikgu Chandra.


"Jelas ada pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai konflik kaum supaya akhirnya kerosakan imej jatuh kepada polis dan kerajaan.


"Mungkin sekarang baru mereka sedar betapa berbahayanya permainan api seperti ini. Akhirnya kita tetap perlu kembali kepada satu prinsip asas iaitu undang-undang," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page