top of page

Tarik Tauliah Mengajar: Jangan 'Derhaka' Titah Sultan Selangor

  • Writer: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
    Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
  • 6 days ago
  • 2 min read

Rayuan aktivis Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan terkait permohonan untuk memaksa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melanjutkan tauliah mengajarnya yang tamat tempoh tiga tahun lalu.


Tindakan tersebut telah diambil oleh MAIS sejajar dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu rumah ibadat di negeri baginda kekal terpelihara daripada unsur politik kepartian. Titah tersebut turut selari dengan Seksyen 12 (a) Enekman Jenayah Syariah (Selangor) No 9 Tahun 1995.


Titah itu terpakai kepada semua pihak yang terlibat dengan aktiviti politik kepartian, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang. MAIS mempunyai kuasa untuk menapis pemberian tauliah, bukan sahaja kepada pendakwah yang terlibat dengan aktiviti politik kepartian malah pendakwah yang berfahaman takfiri, ghuluw (melampau) atau terpengaruh dengan fikrah khawarij yang radikal.


ADUN Perpaduan tidak dapat tauliah


Natijah daripada pendirian MAIS itu terzahir kepada semua pihak termasuk mantan ADUN Kerajaan Perpaduan (DUN Meru) iaitu Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. Tauliah beliau untuk mengajar di masjid dan surau turut ditarik semula dan ia berlaku tanpa sebarang bangkangan. Penarikan tauliah oleh MAIS dilakukan tanpa pilih kasih dan melibatkan semua pihak tidak mengira latar belakang politik kepartian.

Dr Fauzi Hj Fadzil
Dr Fauzi Hj Fadzil

Namun pendirian MAIS yang menjunjung titah Sultan Selangor itu seolah olah tidak dihormati oleh aktivis Pas seperti Ahmad Dusuki Abd Rani. Sehingga kini hanya aktivis PAS itu sahaja di Negeri Selangor yang sanggup 'menolak' titah Sultan Selangor dengan mengheret MAIS ke mahkamah. Tindakan itu jelas menunjukkan pendirian beliau yang tidak menghormati titah Sultan Selangor, malah tindakan itu seolah-olah cubaan menconteng arang ke muka institusi kesultanan di Negeri Selangor.


Pendirian aktivis Pas ini dikhuatiri tidak melambangkan pendirian peribadi beliau berseorangan. Perkara ini dapat dilihat melalui kenyataan YDP Pas Bangi, Mohd Shafie Ngah pada tahun 2023 yang menyatakan cahaya gemerlapan Islam di Negeri Selangor telah pudar kerana keputusan MAIS menarik tauliah dalam kalangan pengkuliah yang "bagus-bagus". Kenyataan tersebut didakwa mempertikaikan keputusan MAIS yang dinaungi oleh Sultan Selangor untuk mengawal institusi masjid daripada terpalit dengan unsur-unsur politik kepartian.


Hormati kuasa Sultan, Perlembagaan


Jika diperhatikan secara mendalam, pendirian aktivis Pas Selangor terhadap titah Sultan Selangor ini mungkin berpunca daripada pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Presiden Pas itu enggan terima keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu yang melarang semua ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau, termasuk khutbah Jumaat. Keputusan MAIDAM yang dinaungi oleh Sultan Terengganu itu dituruti oleh Presiden Pas dengan alasan bahawa perkara itu bukan satu kesalahan.


Seharusnya semua pihak bermuhasabah dan akur dengan bidang kuasa yang telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada institusi kesultanan di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3(2) dengan jelas menyatakan bahawa bagi negeri yang mempunyai Sultan/Raja maka Sultan ialah Ketua Agama Islam bagi negeri tersebut.


Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi Malaysia telah mengiktiraf bidang kuasa tersebut, perbuatan mencabar perkara tersebut bukan sahaja menunjukkan sifat derhaka kepada negara malah kepada institusi kesultanan Melayu.


Jika benar aktivis-aktivis politik kepartian terutama daripada Pas ingin menjadi pendakwah, maka lepaskan semua jawatan dalam organisasi politik kepartian dan jadiah pendakwah yang benar-benar bebas. MAIS akan mempertimbangkan pemberian tauliah kepada pendakwah yang benar-benar bebas daripada keterikatan politik kepartian.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page