top of page

Perjanjian tarif M'sia–AS batal selepas keputusan Mahkamah Agung AS

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 16
  • 2 min read

Perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) disahkan tidak lagi berkuat kuasa susulan keputusan mahkamah tertinggi negara itu yang membatalkan tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan Mahkamah Agung AS menyebabkan asas kepada perjanjian tersebut terbatal, sekali gus menjadikannya tidak lagi terpakai.


Menurut beliau, keputusan mahkamah itu menetapkan bahawa sebarang pengenaan tarif oleh kerajaan AS perlu mempunyai justifikasi yang jelas, termasuk menyatakan industri tertentu yang terjejas.

Datuk Seri Johari Ghani
Datuk Seri Johari Ghani

"Ia bukan dalam status tertunda. Ia tidak wujud, ia batal dan tiada kesan. Mahkamah Agung AS telah membuat keputusan bahawa jika mahu mengenakan tarif, mereka mesti ada sebab.


"Jika mereka mendakwa ia kerana lebihan perdagangan mereka mesti nyatakan industri yang terlibat. Mereka tidak boleh mengenakan tarif secara menyeluruh," katanya dipetik FMT ketika menghadiri Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Desa Pandan, semalam.


Perjanjian ART sebelum ini dimeterai pada Oktober tahun lalu antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump ketika lawatan Presiden AS itu ke Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak ASEAN tahun lalu.


Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu menjadikan perjanjian tersebut terbatal selepas tarif yang menjadi asas rundingan perdagangan berkenaan diputuskan tidak sah oleh mahkamah.


Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata kerajaan AS kini bergantung kepada peruntukan di bawah Akta Perdagangan Amerika Syarikat 1974, khususnya Seksyen 122 yang membenarkan tarif sementara sehingga 10 peratus dikenakan terhadap negara yang didapati melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.


Sementara itu, Washington juga dilaporkan melancarkan siasatan perdagangan di bawah Seksyen 301 akta sama terhadap beberapa rakan dagang termasuk Malaysia, berhubung isu lebihan kapasiti dalam sektor pembuatan dan pematuhan terhadap peraturan perdagangan global.


Langkah tersebut menimbulkan kemungkinan Malaysia berdepan tindakan perdagangan sekiranya siasatan berkenaan mendapati berlaku pelanggaran peraturan antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page