PRN Johor, Melaka - PRU 16 serentak, negara jimat kos RM142 juta
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) di peringkat Persekutuan dicadangkan agar diadakan secara serentak pada hujung tahun ini bagi menjimatkan perbelanjaan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Faezuddin Puad berkata, adalah tidak wajar negara terus menanggung beban Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan yang memakan belanja besar sedangkan ianya boleh disusun dengan lebih cekap, apatah lagi dalam keadaan rakyat masih berdepan dengan tekanan kos sara hidup.
Katanya, berdasarkan rekod kos pilihanraya lalu, PRU15 di peringkat Persekutuan menelan belanja sekitar RM1.01 bilion, manakala PRN Johor pada 2022 sekitar RM96 juta dan PRN Melaka 2021 sekitar RM46 juta.

"Ini bermakna jika ketiga-tiganya diadakan secara berasingan, jumlah kos boleh mencecah sekitar RM1.152 bilion. Jika dibuat secara serentak, negara berpotensi menjimatkan sekitar RM142 juta.
"Wang sebesar itu boleh digunakan untuk membina rumah rakyat, membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik, membantu keluarga susah, atau menambah peruntukan kebajikan yang lebih memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
"Rakyat juga tidak sepatutnya dibebankan untuk keluar mengundi berkali-kali dalam tempoh yang sangat dekat. Apabila pilihan raya dibuat secara berasingan, rakyat perlu memohon cuti, mengatur perjalanan pulang, menanggung kos minyak dan tol, selain menyusun semula urusan kerja serta keluarga.
"Jika pilihan raya negeri dan umum dibuat serentak, rakyat hanya perlu melalui proses itu sekali, lebih teratur dan lebih menjimatkan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, ketika krisis di Asia Barat semakin meruncing dan ketidaktentuan ekonomi global terus menekan harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, Malaysia tidak boleh terus berbelanja seolah-olah tiada kesan kepada negara.
"Inilah masa untuk berjimat cermat dan mengurus wang awam dengan lebih berdisiplin. AMK Johor berpandangan bahawa pilihan raya serentak adalah langkah yang lebih lebih bertanggungjawab dan lebih berpihak kepada rakyat.
"Menjimatkan rakyat, menjimatkan masa rakyat, dan lebih banyak peruntukan boleh disalurkan kepada perkara yang benar-benar mustahak," ujarnya lagi.
Untuk rekod, PRN melaka berlangsung pada 20 November 2021, dan PRN Johor pula pada 12 Mac 2022 manakala PRU ke 15 pada November 2022.
Kedua dua PRN tersebut dijalankan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan yang menyukarkan kempen parti parti bertanding terutama pembangkang Pakatan Harapan ketika itu. BN menang besar dalam kedua dua PRN.




Comments