Turun Anwar 2.0: Politik kebencian bukan budaya Melaka
- Helmi Mohd Foad

- 2 days ago
- 2 min read

KEADILAN Melaka menyeru rakyat khususnya golongan muda agar tidak terikut dengan budaya politik berasaskan kemarahan, fitnah dan kebencian yang hanya akan memecah-belahkan masyarakat serta menggugat kestabilan negara.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata rakyat perlu terus mengamalkan budaya politik matang dengan mengutamakan fakta, adab dan penghormatan terhadap proses demokrasi.
"Kami menyeru rakyat khususnya anak muda agar tidak terikut dengan budaya politik marah, fitnah dan kebencian yang hanya akan memecah-belahkan masyarakat.
"Kritiklah secara bertanggungjawab, berhujahlah dengan fakta dan hormatilah proses demokrasi yang matang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan penyebaran poster berkaitan penganjuran “Himpunan Turun Anwar 2.0” yang dijadual berlangsung di Dataran UTC Melaka.

Menurut Eddiarman, pihaknya memandang serius penggunaan sebuah fasiliti kerajaan bagi penganjuran himpunan yang secara terbuka membawa naratif menjatuhkan kerajaan sedia ada.
"Persoalan besar yang timbul ialah, mengapakah dan bagaimanakah sebuah lokasi milik kerajaan digunakan bagi penganjuran himpunan yang secara terang-terangan membawa naratif menjatuhkan Perdana Menteri serta kerajaan yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi?" katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu pada masa sama membuktikan bahawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
"Perkara ini juga membuktikan satu hakikat penting bahawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar Ibrahim tetap memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, walaupun terhadap kelompok yang saban hari menyerang serta cuba menggugat kestabilan kerajaan," katanya.
Tambahnya, kerajaan hari ini tidak bersikap kuku besi dan masih menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan.
"Kerajaan hari ini tidak bersikap kuku besi, tidak menindas pandangan berbeza dan masih menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan.
"Tetapi kebebasan tersebut tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyemai kebencian, menghasut emosi rakyat atau membentuk budaya politik ekstrem yang merosakkan masa depan negara," katanya.
Beliau turut menegaskan negara tidak akan maju dengan budaya politik yang hanya menumpukan usaha menjatuhkan pihak tertentu tanpa menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.
"Negara tidak akan maju dengan budaya ‘jatuhkan sana, jatuhkan sini’ tanpa tawaran penyelesaian yang jelas kepada masalah rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan ekonomi, memperkukuh pelaburan dan menstabilkan pentadbiran negara, masih terdapat pihak memilih jalan provokasi politik demi kepentingan sempit.
Beliau berkata perbezaan pandangan adalah perkara normal dalam sistem demokrasi, namun gerakan menjatuhkan kerajaan secara berterusan tanpa asas membina bukan budaya politik sihat.
"Perbezaan pandangan adalah normal dalam demokrasi. Tetapi mengangkat gerakan ‘turunkan kerajaan’ sebagai agenda berterusan tanpa asas yang membina bukanlah budaya politik sihat yang patut dicontohi generasi akan datang."
Menurut beliau lagi, KEADILAN Melaka kekal berpendirian bahawa kestabilan politik, kematangan demokrasi dan adab dalam berbeza pandangan mesti terus dipelihara demi keamanan negara.
"Demokrasi bukan medan kebencian, tetapi ruang membina negara," katanya.




Comments