Turkiye rakan dagang penting untuk kembangkan ekonomi Malaysia - PM
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye yang berakhir semalam bertujuan memperkukuh hubungan dagang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan nilai dagangan sebanyak AS$10 bilion, meskipun jumlah itu masih kecil berbanding saiz ekonomi Turkiye dan kekuatan ekonomi Malaysia yang sedang berkembang.
"Kita perlu menembusi pasaran baharu. Sebagai contoh, Malaysia telah banyak mendapat manfaat daripada kehadiran Amerika Syarikat (AS) dengan perdagangan dan pelaburan masih yang terbesar.
"Dalam masa sama, hubungan Malaysia dengan China juga semakin erat kerana ia kini pemain serantau yang sangat penting dan tidak menimbulkan masalah kepada kita (Malaysia).
"Semua itu perlu diurus dengan bijaksana. Ia bukan permainan sifar, bukan menang satu pihak, kalah pihak lain. Dalam suasana ketegangan, permusuhan dan konflik blok kuasa yang semakin meningkat, kita perlu menembusi pasaran baharu.
"Bagi saya, Turkiye amat penting dalam susunan ini, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga ASEAN dan seterusnya bersama-sama bergerak ke arah kerjasama seperti BRICS," kata Anwar.
Anwar berkata demikian ketika diwawancara oleh media Turkiye, TRT World ketika lawatan beliau bermula 6 Januari lalu.
Beliau turut ditemani oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dalam wawancara sama, Anwar yang juga Presiden KEADILAN menyifatkan, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai sahabat sejati yang sentiasa bersama beliau sepanjang tempoh suka dan duka sejak berdekad lalu.
Ujarnya, lawatan ke Turkiye itu sebahagiannya bersifat rasmi dan sebahagiannya bertujuan merakamkan penghargaan mendalam atas persahabatan tersebut.
"Kita mesti terus berhubung dengan semua kuasa dan negara kerana asasnya adalah pembangunan ekonomi.
"Tanpa pembangunan ekonomi, kita tidak akan mampu mengembangkan dan memperkukuh pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas negara," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.





