top of page

Tuntutan Sabah: AMK bimbang kenyataan senator jejas hubungan Malaysia - Filipina

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 28
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko mencetuskan ketegangan hubungan antara Malaysia dan negara itu.


Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Nurhanani Dhamirah berkata, gesaan terhadap Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah adalah provokatif serta boleh menggugat kestabilan serantau.


"Kenyataan Senator Filipina yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah adalah tidak bertanggungjawab, provokatif serta berpotensi menggugat hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, AMK juga memandang serius cubaan mengaitkan isu tuntutan Sabah dengan sumber petroleum di negeri itu susulan krisis minyak global yang amat menjejaskan Filipina.

 Nurhanani Dhamirah
 Nurhanani Dhamirah

"AMK memandang serius kenyataan yang mengaitkan isu tuntutan ini dengan sumber petroleum di Sabah yang dipercayai wujud susulan krisis minyak yang sedang melanda dunia. Kenyataan sedemikian memperlihatkan kecenderungan untuk mempolitikkan kedaulatan wilayah demi kepentingan ekonomi sempit," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan wilayah sah dalam Persekutuan Malaysia dan diperakui oleh antarabangsa sejak sekian lama.


"Sabah adalah sebahagian yang sah dan tidak boleh dipertikaikan daripada Persekutuan Malaysia. Sebarang cubaan untuk menghidupkan semula tuntutan lama yang tidak berasas ini jelas bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa," katanya.


Sehubungan itu, katanya AMK menggesa kerajaan mengambil langkah tegas dalam mempertahankan kedaulatan Sabah di semua peringkat termasuk melalui saluran diplomatik dan forum antarabangsa.


Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak Filipina, memperkukuh naratif sejarah dan perundangan berkaitan Sabah di peringkat global serta meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan di kawasan perairan dan sempadan negeri itu.


"AMK ingin menegaskan bahawa kedaulatan negara bukan bahan tawar-menawar. Sabah bukan sekadar wilayah yang kaya dengan sumber, tetapi merupakan tanah air kepada rakyat Malaysia yang berdaulat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page