top of page

Perkukuh dialog antara agama, tolak politik kebencian - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar merasmikan program Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak
DS Anwar merasmikan program Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat Malaysia agar terus memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian melalui dialog antara agama serta penolakan mutlak terhadap politik kebencian.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak, yang menekankan kepentingan persefahaman, nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum.


Tegas PM, Malaysia sejak awal pembentukannya pada 1957 telah dibina atas asas perpaduan yang kukuh dan menerima nilai masyarakat majmuk berbilang bangsa.


"Negara ini sejak awal di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dibina atas semangat “Bersekutu Bertambah Mutu”.


"Kepelbagaian dan perbezaan bukan perkara baharu, malah menjadi asas pembentukan Malaysia sejak merdeka," katanya.


Dialog dan menghormati kepelbagaian agama serta budaya adalah kekuatan masyarakat majmuk Malaysia
Dialog dan menghormati kepelbagaian agama serta budaya adalah kekuatan masyarakat majmuk Malaysia

PM menegaskan, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan dan orang Melayu serta Bumiputera menjadi majoriti, namun negara ini diasaskan atas prinsip saling menghormati antara kaum dan agama.


Manakala gagasan Malaysia MADANI pula, katanya mengangkat nilai ihsan, adab dan kemanusiaan.


"Saya turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI kembali memperkukuh nilai ihsan, adab dan kemanusiaan yang menjadi teras pembinaan negara.


"Sebab itu budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya setiap hari mencari isu untuk meniup kebencian, menakut-nakutkan rakyat dan memecahkan masyarakat demi laba politik sempit," ujarnya.


Dalam pada itu, Anwar turut menggesa golongan sederhana yang merupakan majoriti di negara ini dan cintakan keamanan agar tampil bersuara mempertahankan perpaduan negara.


"Jangan kita biarkan “tyranny of the minority” atau kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama," ujarnya.


Tambah beliau, masa depan negara perlu terus dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama dalam kepelbagaian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page