top of page

Realiti baharu politik Malaysia, tiada parti mampu meraih majoriti mutlak

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Politik baharu Malaysia pasca Pilihan Raya Umum 2022 memperlihatkan tiada lagi parti politik tunggal yang mampu memenangi majoriti besar di Parlimen, sebaliknya politik gabungan menjadi keperluan dalam landskap politik semasa.


Menurut Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, era dominasi satu parti atau gabungan yang mampu menguasai Parlimen dengan majoriti dua pertiga telah berlalu dan ianya tidak lagi relevan.


"Fantasi mana-mana parti untuk kembali memenangi majoriti dua pertiga kini hanya layak menjadi bahan pameran di muzium politik. Negara, pengundi dan medan politik telah berubah secara kekal," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menjelaskan bahawa negara kini berdepan landskap politik yang semakin berpecah, kompetitif dan terpolarisasi, dengan pengundi tidak lagi bergerak sebagai satu blok besar seperti sebelum ini.


"Setiap pilihanraya kini menghasilkan keputusan yang berpecah kerana rakyat sendiri berbeza dari segi keutamaan, kesetiaan dan jangkaan," ujarnya.


Tambah beliau, perkembangan teknologi khususnya media sosial telah merubah corak penyebaran maklumat, manakala generasi muda pula semakin menolak politik kesetiaan membuta tuli.

Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam

Menurut Lokman, corak pengundian berasaskan wilayah semakin kuat manakala pengundi bandar dan luar bandar bergerak dalam arah berbeza.


Pada masa sama, beliau kecewa kerana masih terdapat segelintir ahli politik yang gagal menerima realiti baharu dan terus bercakap tentang dominasi secara solo dan tidak mahu kerjasama politik.


Realitinya, ujar beliau, ahli politik seperti itu tidak peduli terhadap perkembangan semasa sedangkan gabungan terbesar hari ini pun bergelut untuk mencapai kestabilan asas, apatah lagi majoriti mutlak.


"Hakikatnya mudah. Parti-parti politik boleh saling menyerang ketika kempen, menghina bekas sekutu, mempamerkan kekuatan yang dibayangkan dan membakar semangat penyokong dengan slogan emosi.


"Namun apabila hari pengundian berakhir, semua kembali secara senyap ke meja rundingan untuk mencari rakan kerjasama," katanya.


Beliau menegaskan bahawa politik gabungan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan yang tidak boleh dielakkan.


"Mereka yang enggan memahami perkara ini terperangkap dalam penafian atau hanyut dengan propaganda sendiri."


Bagi Lokman, malah pakatan pra-pilihan raya pun bukan lagi jaminan kemenangan kerana pengundi semakin sukar diramal. Sokongan boleh berubah secara drastik dalam tempoh beberapa bulan. Keputusan pilihan raya negeri yang kuat sama sekali tidak semestinya menjamin dominasi di peringkat Persekutuan.


"Masih ada pemimpin yang lena dalam khayalan politik. Mereka terus mengejar fantasi kuasa mutlak sedangkan realiti di lapangan telah berubah. Malaysia kini memasuki era kelangsungan gabungan, kompromi dan perkongsian kuasa – sama ada ahli politik menyukainya atau tidak," tegas beliau.


Lokman turut mengingatkan bahawa pemain politik yang bijak akan menyesuaikan diri dengan realiti.


Ahli politik yang bercelaru akan terus menjerit tentang dominasi solo, sambil perlahan-lahan menyedari bahawa kebisingan semata-mata tidak menghasilkan angka di Parlimen. Dalam Malaysia moden, katanya, kerjasama bukan lagi kelemahan, hal itu adalah kunci kelangsungan politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page