Kerajaan BN - PN perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuntutan palsu atau sebarang salah guna kuasa melibatkan Program Penjana Kerjaya di bawah PERKESO.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R Yuneswaran, RCI penting bagi meneliti semua dokumen dokumen dan juga dalang sebenar disebalik tuntutan palsu yang telah dilakukan.
"Kerajaan perlu menubuhkan RCI menyiasat lebih terperinci dan ambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dari Kementerian, agensi-agensi, syarikat syarikat atau individu yang menyalah gunakan wang rakyat.
"Pada bulan lepas PERKESO telah menggantung bayaran Program Penjana Kerjaya berjumlah RM423 juta susulan kes penyelewengan dana oleh syarikat berstatus sendirian berhad.
"Pada 14 Julai pula, pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana Program Penjana Kerjaya bernilai lebih RM1.2 juta. Apakah tindakan selanjutnya oleh pihak SPRM selepas mereka direman untuk membantu siasatan?" tanya beliau dalam satu kenyataan
Menurut Yuneswaran lagi, pada 15 Julai lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan sebanyak 37 individu dipercayai telah menggunakan platform Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu melibatkan kewangan hampir RM100 juta
Tegas Yunes, Penjana Kerjaya yang ditubuhkan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari kerja tempatan tidak sepatutnya digunakan untuk mencari keuntungan segera bagi segelintir pihak.
Beliau juga mendesak Menteri Sumber Manusia yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program itu melalui PERKESO agar lebih telus dalam menghadapi isu tuntutan palsu yang beroperasi seolah olah jenayah terancang melibatkan kewangan yang amat besar.
"Menteri yang bertanggungjawab perlu ada sikap akauntabiliti serta membentangkan segala laporan di Parlimen dan nyaklasifikasikan segala dokumen yang melibatkan PENJANA untuk pengetahuan umum.
"Kes yang melibatkan rasuah, penyelewengan, ketirisan serta penyalagunaan kuasa tidak boleh ditolak ansur oleh mana-mana pihak, wajar diambil tindakan di mahkamah dan dikenakan hukuman berat," katanya lagi.
Comments