top of page

Tunjuk bukti ahli keluar parti - KEADILAN Sabah



KEADILAN Sabah akan menyiasat kesahihan identiti individu yang mengisytihar keluar parti sama ada mereka benar-benar ahli KEADILAN.


Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew berkata siasatan itu akan dibuat oleh setiausaha KEADILAN negeri itu.


"Tolong beritahu nama dan nombor keahlian anda yang keluar, kalau semua sudah lengkap, kemudian kita akan maklumkan kepada PKR Pusat untuk penamatan keahlian," katanya yang merujuk kepada ahli yang umum keluar parti seperti dilaporkan oleh Sinar Harian.


Semalam, Timbalan Ketua KEADILAN Cabang Kalabakan, Mohd Jailani Chachu mendakwa kira-kira 2,000 ahli cabang itu termasuk ahli jawatankuasa keluar daripada parti berkenaan.



Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Adam Fistival Wilfried sebelum ini menggesa Jailani supaya menunjukkan bukti sama ada 2,000 ahli benar-benar keluar daripada parti.


"Kita meminta Jailani bagi nama, nombor keahlian dan tandatangan ahli yang keluar parti. Kalau tidak ada, kita akan ambil tindakan undang-undang," katanya seperti dilaporkan oleh Borneo Post.


Adam juga menempelak alasan yang digunakan Jailani untuk keluar parti sebagai tanda solidariti kepada Ketua AMK Kalabakan, Asis Bakri yang dipecat dari parti itu pada bulan April.


"Mengapa perlunya solidariti atas pemecatan Asis? Dia menyatakan sokongannya kepada Azmin Ali. Mengapa pilih Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat?


"Lebih baik Jailani beritahu perkara sebenar dan tidak menggunakan alasan solidariti. Siapa tahu di masa akan datang ketika dia memutuskan untuk keluar parti yang dia sertai nanti, dia akan menggunakan alasan yang sama untuk kepentingan diri.


"Individu seperti ini tidak boleh dianggap sebagai pemimpin kerana mereka adalah orang yang oportunis dalam pentas politik," katanya.


Adam juga mengesahkan penggantungan keanggotaan lima ketua cabang di Sabah iaitu Datuk Kong Hong Min (Tawau), Dr Roland Chia (Sepanggar), Haris Thomas Tupang (Silam), Pagrios Petrus Zabang (Beluran) dan Aslan Kansut ( Tenom).


Tiga pemimpin lagi dipecat serta-merta iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin, yang merupakan ketua cabang Ranau, Rahimah Majid yang merupakan ketua cabang Kudat dan ketua cabang Libaran, Jaffari Waliam.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page