
Cubaan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak wajar dan hanya akan membantut usaha memulihkan negara.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pihak yang tidak bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu boleh menukar kerajaan melalui pilihan raya umum akan datang.
"Kalau tidak suka boleh hentam kita, boleh maki kita, lepas empat tahun boleh tukar, jangan tukar kerajaan tengah jalan, tak baik," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata begitu pada majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidifitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Teluk Kumbar, Pulau Pinang semalam.
Sebelum ini timbul dakwaan kononnya wujudnya Akaun Berkanun (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Perdana Menteri kemudian tampil mencabar mereka membuktikan perkara itu pada sidang Parlimen akan datang.
Tegas Anwar, beliau bukan seperti Perdana Menteri seperti sebelum ini yang mengelak untuk berdepan dan berentap dalam soal siapa mempunyai keabsahan di Parlimen.
"Kita bersetuju dengan pendirian Anwar bahawa mana-mana pihak yang mahu mengubah kerajaan, sila bawa perkara ini ke Parlimen kerana inilah tempat yang terbaik," katanya.