top of page

Pemimpin jangan politikkan hak pelarian, label ancaman kepada negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan bahawa naratif xenofobia terhadap pelarian, migran dan pendatang tanpa dokumen yang semakin meningkat kebelakangan ini amat membimbangkan serta bertentangan dengan prinsip Islam.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata Islam menekankan nilai keadilan, belas ihsan dan pemeliharaan maruah manusia tanpa mengira latar belakang.


"Xenofobia terhadap pelarian, migran dan pendatang tanpa dokumen mesti ditolak. Islam mengajar prinsip keadilan, belas ihsan dan pemeliharaan maruah manusia tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa atau status undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau juga menyatakan sokongan terhadap pendirian Mufti Sabah yang menyeru pendekatan lebih berhati-hati dan berperikemanusiaan dalam menangani isu berkaitan pelarian dan komuniti tanpa dokumen.


Menurutnya, ramai dalam kalangan golongan tersebut adalah mangsa keadaan seperti konflik, peperangan, kemiskinan dan eksploitasi, justeru tidak wajar dilabel secara umum sebagai ancaman kepada masyarakat.


"Pendekatan yang berperikemanusiaan dan seimbang amat diperlukan dalam menangani isu berkaitan pelarian dan komuniti tanpa dokumen, khususnya mereka yang terdedah kepada penindasan, perpindahan paksa serta terperangkap akibat konflik, kemiskinan atau eksploitasi," ujarnya.


MAPIM menegaskan, walaupun isu keselamatan dan imigresen merupakan hak negara untuk diuruskan, hal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menyemarakkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana komuniti.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh prosedur imigresen yang lebih adil dan telus, selain menyeru pemimpin masyarakat dan media agar mengelakkan retorik melampau yang boleh mencetuskan kebencian.


"Mereka tidak seharusnya terus dilabel sebagai penjenayah atau ancaman kepada masyarakat secara umum. Generalisasi melulu hanya akan memburukkan perpecahan sosial, ketakutan dan permusuhan dalam masyarakat," tegasnya.


Tambah Azmi, masyarakat yang dipandu oleh keadilan dan rahmah akan memperkukuh keamanan serta perpaduan, berbanding xenofobia yang hanya meruntuhkan asas moral masyarakat.


"Masyarakat yang dipandu oleh keadilan dan rahmah akan memperkukuh keamanan, kestabilan dan perpaduan untuk semua.


"Maruah manusia tidak boleh menjadi mangsa kepada retorik politik atau kemarahan awam," kata Azmi lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page