Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan isu tunggakan gaji berjumlah RM560,000 membabitkan 24 kakitangan Kedah Agro Holdings akan diselesaikan sebelum berakhirnya Ramadan.
Menterinya, Steven Sim berkata, kesemua tunggakan termasuk faedah penamatan dan gaji akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024.
"Selain itu pekerja juga telah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan dan JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia) akan membuka siasatan sekiranya ada laporan difailkan dibawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 atas kesalahan pembayaran gaji lewat.
"Jika sabit kesalahan majikan boleh didenda tidak lebih RM50,000 setiap pertuduhan bawah Seksyen 99A Akta yang sama," katanya di Dewan Rakyathari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai perkembangan terkini isu tunggakan gaji kakitangan Kedah Agro Holdings anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah.
Terdahulu, Suara Keadilan melaporkan KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) memberikan notis kepada Kedah Agro supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangannya.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengesahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) sudah memberikan notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad supaya segera menyelesaikan isu tersebut.
Anak syarikat MBI Kedah itu didapati tidak membayar gaji kakitangan sejak September lalu sekali gus melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.
Mengulas lanjut soalan tambahan mengenai dakwaan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kakitangannya, Sim berkata laporan hendaklah dikemukakan Pejabat Tenaga Kerja (PTK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.
"Pekerja juga dinasihat untuk menfailkan kes buruh di PTK cawangan bagi menuntut bayaran gaji yang tidak diterima.
"Kes buruh yang difailkan ke Mahkamah Buruh bagi menyelesaikan tuntutan kewangan oleh pekerja terhadap majikan sebagaimana peruntukan 69 Akta Kerja 1955," ujarnya.
Dalam pada itu, Sim menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menganiaya hak pekerja.
"Kita tak akan kompromi, tidak kira swasta mahupun kerajaan sama ada parti politik, semua akan diambil tindakan jika hak pekerja tidak dibela," katanya.
Comments