Jual diesel ke Filipina: Jangan amal 'politik malas', ulang naratif karut
- Akmal Manaf

- Apr 15
- 2 min read

Tindakan laskar siber pembangkang yang terus mengulang dakwaan kononnya Malaysia menjual diesel ke Filipina meskipun telah dinafikan secara rasmi oleh pihak berkuasa, mencetuskan persoalan berhubung asas dan ketepatan dakwaan tersebut.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Fitri Ismail, mengulang cerita yang sama berkali-kali tidak akan menjadikannya benar, sebaliknya hanya menunjukkan pihak berkenaan sudah ‘kehabisan isu’ untuk dimainkan.
Katanya, isu berkenaan bukan lagi soal salah faham, sebaliknya didakwa melibatkan usaha memutar fakta bagi membentuk persepsi rakyat.
"Cara politik seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menurunkan kualiti perbahasan awam negara.
"Perlu difahami, dalam ekonomi global, aktiviti import dan eksport semula adalah perkara biasa. Banyak negara melakukannya sebagai sebahagian daripada strategi perdagangan.
"Ia bukan sesuatu yang luar biasa atau mencurigakan selagi ianya mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan bekalan dalam negara," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan laskar siber pembangkang yang masih membangkitkan dakwaan kononnya Malaysia menjual diesel ke Filipina walaupun perkara itu telah dinafikan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Fitri berkata rakyat memerlukan penyelesaian ketika dunia berdepan ketidaktentuan tenaga global, bukannya naratif yang hanya menimbulkan kebimbangan.
Beliau yang juga Ketua AMK Merbok menegaskan, isu minyak bukan bahan untuk dipolitikkan secara berlebihan demi meraih keuntungan jangka pendek.
Ujarnya, jika benar mahu membantu negara, pihak berkenaan lebih baik tampil dengan cadangan membina seperti memperkukuh keselamatan bekalan tenaga, mempercepat peralihan kepada tenaga alternatif, menambah baik subsidi bersasar, dan menutup ketirisan secara menyeluruh.
"Realitinya, krisis tenaga global memberi kesan kepada semua negara termasuk Malaysia. Jalan ke hadapan memerlukan kerjasama dan tanggungjawab bersama bukan politik sempit yang hanya menangguk di air keruh.
"Hakikatnya, kita lihat pola yang sama iaitu apabila kerajaan ambil tindakan, dituduh gagal. Apabila penjelasan diberi, buat-buat tidak faham. Apabila fakta dikemukakan pula, naratif lama juga yang diulang.
"Ini bukan semak dan imbang. Ini sekadar politik yang malas. Rakyat hari ini semakin matang. Mereka boleh menilai yang mana fakta atau propaganda. Terus memainkan isu yang sudah dijelaskan hanya akan menjejaskan kredibiliti sendiri.
"Cukuplah. Jika tidak mampu berhujah dengan fakta, jangan terus mengelirukan rakyat," bidas beliau lagi.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti tular dalam media sosial.
Sebaliknya jelas Fahmi ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor dan bekalan diesel terbabit bukan diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihak PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengesahkan bahawa minyak itu bukan milik Malaysia.
"Sebaliknya, ia telah dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol, dan disimpan di sebuah gudang di kawasan Tanjung Pelepas, Johor.
"Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel berkenaan dihantar dari Malaysia," katanya.




Comments