Tidak lalu Selat Hormuz: Kenyataan Exco mengelirukan, KEADILAN T'ganu sedia debat
- Helmi Mohd Foad

- Apr 15
- 2 min read

Kenyataan Exco negeri Terengganu bahawa minyak Malaysia tidak melalui laluan antarabangsa seperti Selat Hormuz mencerminkan kefahaman yang terlalu simplistik terhadap bagaimana rantaian bekalan minyak global berfungsi.
Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata realitinya, pasaran minyak dunia saling berkait dan pergerakan harga serta bekalan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada laluan strategik antarabangsa.
"Sebahagian besar bekalan minyak mentah dan produk petroleum dunia termasuk yang diproses oleh Petronas bergantung kepada kestabilan laluan maritim global yang terdedah kepada risiko geopolitik.

"Dalam konteks semasa, ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat telah memberi kesan langsung kepada kestabilan rantaian bekalan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bahawa kenyataan Exco Dr Azman Ibrahim berhubung rantaian bekalan minyak negara adalah tidak tepat serta berpotensi mengelirukan rakyat.
Aiman yang menyokong kenyataan Fahmi bahawa sebarang gangguan terhadap laluan utama seperti Selat Hormuz akan memberi implikasi kepada harga minyak dunia, kos import serta tekanan kepada ekonomi negara termasuk Malaysia.
"Oleh itu, menafikan hubungan ini bukan sahaja tidak tepat malah memperlihatkan kegagalan memahami asas ekonomi tenaga global," ujarnya.
Dalam pada itu, KEADILAN Terengganu menyatakan kesediaan untuk berdebat atau berdiskusi secara terbuka dengan Dr Azman atau Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.
"Debat ini penting bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang berasaskan fakta dan kefahaman ekonomi yang tepat khususnya dalam menilai bagaimana konflik geopolitik global memberi kesan kepada rantaian bekalan minyak mentah dunia serta implikasinya terhadap harga minyak dan ekonomi Malaysia," jelasnya.
Aiman berkata pihaknya percaya isu strategik seperti ini tidak boleh dihuraikan secara simplistik sebaliknya menuntut perbincangan yang matang, berasaskan data, dan berpaksikan realiti ekonomi global.
"Kami juga membuka ruang kepada mana-mana media arus perdana untuk menjadi penganjur kepada sesi debat ini agar ia dapat dilaksanakan secara profesional dan memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.




Comments