top of page

Jual diesel ke Filipina: Penjelasan kerajaan telus, tiada selindung - Abun

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 15
  • 2 min read

Penjelasan oleh Kerajaan MADANI berhubung isu kononnya Malaysia mengeksport diesel ke Filipina, membuktikan pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited menyampaikan maklumat tepat, telus dan berasaskan fakta.


Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan naratif dimainkan pihak pembangkang yang gemar memutar belit fakta demi kepentingan politik sempit.


Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.


"Dengan penjelasan lanjut termasuk daripada pihak berkaitan di Filipina sendiri, jelas menunjukkan bahawa maklumat yang disampaikan oleh Kerajaan Malaysia adalah tepat dan sudah tentu boleh dipercayai.


"Isu yang diputar seolah-olah Malaysia mengeksport diesel ke Filipina ternyata hanyalah salah faham berkaitan proses logistik ‘transhipment’, dan bukannya dasar atau tindakan rasmi negara.


"Ini sekali gus membuktikan bahawa dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab hanyalah fitnah yang mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan.


Abun turut menzahirkan keyakinan bahawa rakyat semakin matang dan bijak dalam menilai setiap maklumat yang diterima.


Oleh itu ujarnya, adalah penting untuk sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan sebelum membuat sebarang kesimpulan agar tidak terpedaya dengan berita palsu atau separuh benar.


"Akhir sekali, saya menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat, demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.


"Saya menyambut baik penjelasan yang telah diberikan oleh kerajaan berhubung isu diesel yang tular baru-baru ini.


"Kenyataan tersebut telah memperjelaskan keadaan sebenar dan menamatkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat," katanya lagi.


Pada 12 April lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti tular dalam media sosial.


Sebaliknya jelas Fahmi ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor dan bekalan diesel terbabit bukan diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol.


Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihak PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengesahkan bahawa minyak itu bukan milik Malaysia.


"Sebaliknya, ia telah dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol, dan disimpan di sebuah gudang di kawasan Tanjung Pelepas, Johor.


"Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel berkenaan dihantar dari Malaysia," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page