Tunai amanah, jangan ponteng persidangan Dewan Rakyat - Dr Johari Abdul
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Semua Ahli Parlimen diingatkan supaya menunaikan tanggungjawab amanah rakyat dengan tidak ponteng daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul (gambar) berkata, mana-mana Ahli Parlimen yang tidak dapat berada dalam sidang, perlu memaklumkan ketidakhadiran mereka kepada Speaker atau Setiausaha Dewan Rakyat.
"Saya memahami terdapat beberapa ahli Yang Berhormat yang tidak dapat hadir atas faktor tertentu seperti urusan rasmi, isu kesihatan, mahupun urusan peribadi.
"Sehubungan itu, saya meminta Yang Berhormat dapat memaklumkan kepada saya atau Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya tidak dapat hadir persidangan Parlimen selaras peraturan mesyuarat 91, yang mana ketidakhadiran ini akan dicatitkan dalam penyata rasmi dewan.
"Hal ini bagi memastikan rakyat tidak menganggap Yang Berhormat ponteng semasa sidang Dewan Rakyat," katanya dipetik ketika mempengerusikan Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, atas pemergian suaminya, Datuk Kamil Misuari, pada Khamis lalu.
Beliau juga mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan isterinya yang sebelum ini terbabit dalam kemalangan jalan raya awal pagi, Sabtu lalu.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung selama 16 hari bermula semalam dan dijadualkan berakhir pada 16 Julai 2026.




Comments