
Walaupun pertikaian mengenai isu pemecatan ahli Bersatu yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum berakhir, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berhasrat untuk menubuhkan parti politik baharu.
Ahli politik veteran itu berkata beliau perlu mewujudkan parti politik Melayu yang baharu selepas parti Bersatu yang ditubuhkannya pada 2016 kini berpecah dua.
"Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu. Nama parti ini ialah Parti AAD atau “Parti Apa Aku Dapat”," katanya menerusi blog peribadinya.
Namun, Mahathir berkata dengan sinis bahawa dasar perjuangan Parti AAD adalah untuk memperkayakan orang Melayu.
"Caranya adalah melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.
"Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lain. Yuran tidak perlu," katanya.
Sudah tentu penulisan oleh bekas Perdana Menteri itu dibuat secara berseloroh dan merupakan satu sindiran pedas kepada Muhyiddin yang kini memimpin Bersatu namun parti itu sudah lari daripada perjuangan asalnya.
Comments