Tun Mahathir hadir mesyuarat Lembaga Pengampunan bebaskan Anwar - AGC
- Suara Keadilan
- Jun 3
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengampunan penuh diraja terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sah atas alasan ia tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan.
Jabatan itu dalam kenyataan berkata, bekas perdana menteri itu sendiri sebenarnya telah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Istana Negara pada 16 Mei 2018.
"Jabatan ini menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 telah diadakan pada Rabu, 16 Mei 2018, jam 11 pagi di Istana Negara.
"Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada masa itu," kata kenyataan yang dimuat naik di Facebook AGC hari ini.
Kenyataan itu berkata Sultan Muhammad, atas nasihat lembaga pengampunan berkenan menitahkan bahawa rayuan pengampunan penuh oleh Anwar dibenarkan dan diberikan pembebasan serta-merta berkuat-kuasa mulai dari tarikh persidangan mesyuarat lembaga tersebut.
"Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan lembaga pengampunan," katanya.
Menyentuh kenyataan Mahathir itu, AGC berkata ia memandang serius perkara tersebut sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi.
"AGC menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan lembaga pengampunan adalah tidak wajar sama sekali," kata kenyataan itu.
Terdahulu Mahathir dalam satu klip video TikTok mendakwa bahawa beliau telah menandatangani surat pengampunan tanpa nasihat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika itu yang mengambil garden leave dan tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Comments