
Penandatanganan Proklamasi Orang Melayu di antara delegasi Pas yang diketuai Presiden Hj Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad baru baru ini menimbulkan spekulasi apakah Pas mula beralih mengharapkan kepimpinan Tun setelah parti itu menjadi musuh politik pemimpin berusia 98 tahun berkenaan pada hampir sepanjang hayatnya.
Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pertemuan Pas dan Tun itu hakikatnya berlaku dalam keadaan Pas terdesak kerana pemimpin utama PN, Tan Sri Mahiaddin yassin akan memulakan perbicaraan di mahkamah pada Mei ini, dan PN berisiko menjadi tidak popular selepas itu.
"(Jadi) pertemuan dengan Tun M sebenarnya Pas mahu mewar warkan mereka ada modal baru.
"Dengan kata lain, landskap politiknya Pas sentiasa memberi kerjasama. Dalam konteks (sebelum) ini Pas menggunakan Bersatu khususnya pengerusi Bersatu Tan Sri Mahiaddin dan beberapa orang pimpinan yang lain.
"Tetapi kita tahu dalam bulan Mei ini beberapa kes dibicarakan termasuk kes Jana Wibawa, maka ini dijangka reputasi Bersatu juga akan terjejas dan memerlukan alternatif siapakah yang perlu mengambil peranan menuju Pilihan Raya Negeri akan datang
"Dalam kata lain, pemimpin Bersatu ini (mungkin) direhatkan sekejap dan cuba diambil alih oleh Tun M untuk memberikan kenyatan media dan sebagainya," kata Dr Awang Azman dalam forum atas talian Sumberkini, malam tadi.
Kerjasama dengan Tun itu juga kata beliau, akan memberi semangat baharu kepada penyokong Pas.
Sementara itu, bagi Tun Mahathir pula Dr Awang Azman berpendapat, ahli politik berumur hampir seabad itu semakin tidak relevan dalam arena politik Malaysia.
Hal itu katanya telah dibuktikan apabila beliau kalah teruk di kerusi parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum lalu.
Jadi, katanya, langkah kerjasama dengan Pas itu boleh memberi sedikit nafas politik kepada perjalanan politiknya.
"Kalau lihat senario Tun M, walaupun dianggap seorang popular secara individu, PM 2 kali, kita lihat populariti Tun M agak merudum dan terjejas teruk apabila parti yang beliau pimpin kalah teruk.
"Ini pukulan maha hebat terhadap Tun. Untuk Tun M pastikan beliau kekal di pentas utama, beliau cuba bersatu dengan Pas walaupun hubungan agak kurang serasi. Jadi (mereka) sama sama mempunyai objektif bersama menolak Anwar sebagai PM.
"Jika Tun M terus bersendirian beliau tentunya akan hilang dalam arus perdana (politik)
"Pas pula dalam PRU lepas mengunakan sentimen Melayu Islam, jadi sesuai dengan Proklamasi Melayu, strategi yang baik untuk menyatukan orang Melayu," katanya.
Bagaimanapun Dr Awang menyifatkan proklamasi tersebut tidak lebih sebagai 'nasi tambah' kepada perjuangan perkauman kerana setakat ini hanya Pas parti Melayu besar yang menyertainya.
"Adakah Umno tidak memperjuangkan agenda Melayu? Sedangkan kita tahu dalam sejarah parti Umno yang telah banyak berjasa kepada negara. Kita lihat Dasar Ekonomi Baharu, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, terlalu banyak sumbangan Umno BN
"Adalah apabila Umno tidak sertai Proklasi Melayu dan tidak dilihat lebih Melayu? Jadi ini tidak lain satu bentuk propaganda politik untuk Pas khususnya yang berasa tidak pasti masa depan mereka terutamanya apabila berdepan PRN akan datang. Walau sebelum ini mereka berjaya membina momentum bersama PN dengan imej 'stabil dan bersih'.
"Tetapi kini dengan tercemarnya imej bersih mereka apabila pemimpin PN bakal menjadi kluster mahkamah, ini menyebabkan Pas memerlukan guna kembali sentimen Melayu Islam dan seolah olah cuba menggantikan lain (Mahiaddin) dan menggantikan dengan Tun Mahathir untuk dijadikan suara di barisan hadapan.
Dan kita tahu Proklamasi tersebut ketika mereka (PN) memerintah tidak pula mereka membuat proklamasi tersebut," katanya lagi