Malaysia–Arab Saudi perkukuh kerjasama keselamatan, tujuh inisiatif dimuktamadkan
- Redzuan Shamsudin

- May 29
- 2 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan hubungan strategik antara Malaysia dan Arab Saudi terus diperkukuh, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz Al Saud selepas beliau selesai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, hari ini.
"Pertemuan ini memberi ruang untuk meninjau perkembangan kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan," katanya dalam satu muat naik di media sosial.
Beliau berkata, hubungan erat kedua-dua negara terus diperkasa melalui Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) yang menjadi platform utama penyelarasan pelbagai inisiatif kerjasama.
"Melalui Kluster Keselamatan SMCC, Malaysia dan Arab Saudi telah memuktamadkan tujuh bidang kerjasama utama meliputi keselamatan sempadan, pencegahan keganasan, keselamatan siber, imigresen, forensik, operasi mencari dan menyelamat serta usaha membanteras jenayah narkotik," katanya.
Tambah beliau, kemajuan melalui Jawatankuasa Pakar turut membuahkan hasil apabila sebanyak 10 inisiatif strategik berjaya dipersetujui melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.
"Perkembangan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh perkongsian kepakaran, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama penguatkuasaan dalam menghadapi cabaran keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks," katanya.
Dalam masa sama, Putera Abdulaziz turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di peringkat antarabangsa.
Saifuddin juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas penambahbaikan dalam pengurusan ibadah haji yang memberi manfaat kepada jemaah Malaysia.
"Saya mengambil kesempatan di pertemuan ini untuk turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas segala usaha, komitmen dan pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan dalam pengurusan ibadah haji, khususnya untuk jemaah haji Malaysia. Kemudahan, layanan serta sistem pengurusan yang cekap bukan sahaja membantu jemaah Malaysia, malah jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah dengan lebih selesa, teratur dan penuh ketenangan," katanya.
Saifuddin menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dengan Arab Saudi demi keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.




Comments