Kesetiaan kepada KEADILAN, PH demi agenda reformasi - Mustapa Mansor
- Redzuan Shamsudin

- May 29
- 1 min read

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) menegaskan pendiriannya untuk setia bersama KEADILAN dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bukan berasaskan individu, sebaliknya berpaksikan sejarah perjuangan serta kesinambungan agenda reformasi.
Menurut beliau, KEADILAN lahir daripada gelombang kebangkitan rakyat pasca Reformasi 1998 yang menuntut keadilan, menentang rasuah dan memperjuangkan kebebasan institusi.
"KEADILAN lahir daripada gelombang kebangkitan rakyat pasca Reformasi 1998. Ia bukan parti yang muncul kerana projek kuasa sementara, tetapi lahir daripada penderitaan rakyat, penindasan politik dan tuntutan keadilan," katanya dalam kenyataan di tengah tengah gelombang segelintir Otai Reformis menyertai parti baharu yang kononnya memperjuangkan reformasi total.
Tambah beliau, generasi Otai Reformis melihat parti KEADILAN sebagai wadah perjuangan berteraskan prinsip keadilan untuk semua kaum, memastikan tadbir urus bersih, penolakan penyalahgunaan kuasa serta pembelaan terhadap rakyat marhaen.
Mengulas kepimpinan semasa, beliau menyatakan bahawa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai agenda reformasi telah dilakukan termasuk usaha memperkukuh tatakelola, meningkatkan ketelusan pentadbiran serta mengurangkan ketirisan.
"Memang rakyat mahu perubahan lebih cepat, dan kritikan itu wajar dalam demokrasi. Namun bagi saya, perubahan besar dalam sistem negara tidak berlaku dalam sehari.
"Yang penting ialah arah perjuangan masih betul, asas reformasi dipertahankan, dan ruang demokrasi terus dibuka," ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapa menegaskan kesetiaan beliau tidak bermakna menutup ruang kritikan terhadap kelemahan dalam pentadbiran.
"Dalam perjuangan, kita boleh menegur dan mengkritik secara membina. Saya memilih untuk membaiki dari dalam, mempertahankan asas reformasi dan tidak mudah melompat kerana emosi politik sementara," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan reformasi masih belum selesai selagi prinsip keadilan, reformasi institusi dan pembelaan rakyat terus menjadi asas perjuangan KEADILAN dan PH.




Comments