Filem “Konspirasi” tamat tayangan atas permintaan penerbit - FINAS
- Helmi Mohd Foad

- May 29
- 2 min read

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan keputusan penamatan tayangan filem Konspirasi di pawagam di seluruh negara bukan disebabkan arahan mana-mana pihak sebaliknya atas permintaan penerbit sendiri.
FINAS memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung penamatan tayangan filem itu bermula 28 Mei lalu selepas dimaklumkan oleh Persatuan Pamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem berkenaan.
"Berdasarkan emel yang dikongsikan kepada agensi itu, penerbit filem terbabit iaitu Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. meminta supaya tayangan Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan.
"Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati, penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
FINAS menegaskan filem tersebut telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.
Jelasnya filem berkenaan mula ditayangkan pada 21 Mei lalu di 120 skrin pawagam di seluruh negara.
Menurut FINAS, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menghentikan tayangan filem terbabit.
"FINAS menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung keputusan penamatan tayangan tersebut.
"Namun, sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan," katanya.
FINAS berkata pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan dan memaklumkan perkembangan semasa dari semasa ke semasa.
Isu filem Konspirasi mencetuskan perhatian ramai di media sosial selepas timbul dakwaan kononnya filem berkenaan dihentikan tayangan akibat tekanan pihak tertentu susulan kandungan dan tema filem tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan FINAS hari ini menafikan dakwaan berkenaan dengan menjelaskan penamatan tayangan dibuat atas keputusan penerbit sendiri.
Filem tersebut sebelum ini dipromosikan sebagai sebuah karya thriller politik yang menyentuh elemen kuasa, manipulasi dan konflik dalam masyarakat semasa sekali gus menarik perhatian penonton serta perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial sejak ia mula ditayangkan minggu lalu.
Manakala di media sosial, terdapat pihak yang mempersoalkan sama ada Konspirasi ditamatkan tayangannya berkaitan perkembangan politik semasa berhubung soal pembanterasan rasuah.




Comments