Tumpukan PRU 15, PH hanya kurang 6 Ahli Parlimen untuk tubuh kerajaan


Pasca pelantikan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pakatan Harapan (PH) sewajarnya tidak perlu lagi melayan politik picisan pergolakan dalam kerajaan BN-Perikatan Nasional.


Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kerja utama PH adalah mengukuhkan gabungan dan merancang strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang tidak sampai dua tahun daripada sekarang.


"Blok pembangkang, khususnya PH tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar mengganggu dan menggugat tak tentu hala PM yang baru dilantik ini.


"Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara. Jika Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang oleh saingan politiknya dari Bersatu atau lain-lain parti dalam payung besar PN-BN, ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara di sebut, “ Biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”


"Jadi apa yang PH perlu lakukan sekarang selepas terlepas peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada PRU ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi," katanya dalam satu kenyataan.


Tegas Hassan, dalam memperkukuh gabungan pembangkang tidak wajar timbul suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim


Menurut beliau, pembangkang perlu sedar mereka hanya kekurangan 6 Ahli Parlimen untuk berjaya membentuk kerajaan minggu lalu dan jumlah tersebut bukanlah sesuatu yang sukar untuk diperolehi dalam PRU ke 15.


"Dalam hal ini jangan campak Anwar ke bawah bas selepas gagal persaingan PM ke-9. PH amat memerlukannya untuk menjadi komander dalam menghadapi PRU akan datang.


"Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bi-partisan. Kalau PH yang memimpin kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bi-partisan itu masuk akal dan berfaedah. Tetapi kalau PH ibarat melukut di tepi gantang, yang tak dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.


"PH bukan satu jenama yang koyak dan kalah. PH adalah jenama politik untuk masa depan. Harapan hanya kurang 6 undi sokongan untuk mendapatkan majoriti membentuk Kerajaan Persekutuan. Itu tak susah diperolehi di dalam PRU akan datang," katanya.


Mengakui beliau beberapa kali pernah berbeza pendapat dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar dan pernah tidak mengikuti arahan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun katanya beliau tidak sampai ke tahap sanggup meminta Anwar berundur daripada memimpin PH.


"Dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada kawan-kawan dalam PH yang suruh Anwar letak jawatan. Saya dengar ada cadangan minta PH pilih pemimpin lain. Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tak diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”. Cakap-cakap seperti itu datang dari Deep State, dari musuh yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar Ibrahim terutamanya.


"Anwar sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk terhadap tututan Kluster Mahkamah dari Umno. Anwar tidak berkompromi. “Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Apa yang Anwar buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa, Anwar lulus dalam ujian. Dia tidak gila kuasa, tetap mempertahankan idealisme reformasi yang diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa Perdana Menteri diutamakan. Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang


"Anwar juga sudah ada di Pejabat PM hari ini kalau dia menanggih sedekah dari GPS di Sarawak dan tunduk terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini. Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi PH dan Presiden KEADILAN ini ada maruah, ada integriti. Dia tetap tenang dan tawakal," katanya.


Hassan mengingatkan rakan sekutu mengenai peristiwa terpenjaranya Anwar buat kali kedua akibat fitnah pada 2015 yang menyebabkan Pakatan Rakyat ketika itu dengan mudah dihancurkan oleh BN secara memujuk Pas menginggalkan gabungan.


Katanya, akaibat yang samaakan berlaku jika Anwar disingkirkan kali ini


"Usah Anwar cuba dipinggirkan. Bayangkan senario yang pernah terjadi. Selepas PRU-13, Anwar dihumban oleh regim Umno-BN Najib ke penjara. Pakatan Rakyat pecah dan hancur.


"Jangan lupa, orang yang bernama Anwar inilah yang bangun dan muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti pembangkang sehingga PH berjaya menumbangkan Umno-BN dan Najib dalam PRU Mei 2018 lalu.


"Jadi kepada Anwar, saya berharap supaya tenang dan fokus. Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi PRU ke-15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan bangunkan sebuah negara moden yang progresif, yang adil dan demokratik.


"Sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat, semua kamu dan agama dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua," katanya lagi.

1 comment

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER