top of page

Tumpu selesai isu dekat di hati rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read
ONN ABU BAKAR (kanan) beramah mesra dengan peniaga ketika melakukan lawatan ke Pasar Pagi Pekan Senggarang, 4 Julai 2026. Foto Ihsan Onn Abu Bakar melalui Facebook
ONN ABU BAKAR (kanan) beramah mesra dengan peniaga ketika melakukan lawatan ke Pasar Pagi Pekan Senggarang, 4 Julai 2026. Foto Ihsan Onn Abu Bakar melalui Facebook

Calon Pakatan Harapan (PH) Senggarang, Onn Abu Bakar mahu menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai isu yang dekat di hati rakyat sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.


Beliau berkata, tekad berkenaan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya merupakan pelan tindakan yang berpaksikan keperluan sebenar rakyat bagi memastikan pembangunan kawasan itu dilaksanakan secara menyeluruh.


Atas komitmen tersebut beliau menampilkan enam tekad iaitu menyediakan kemudahaan Internet berkualiti, menaik taraf kemudahan infrastrutur seperti lampu jalan dan jalan raya, tingkat ekonomi tempatan, pendidikan belia serta kebajikan rakyat.


"Saya menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat dengan satu matlamat yang jelas iaitu membawa Senggarang ke arah pembangunan yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing.


"Senggarang merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan hasil pertanian, perikanan, perusahaan kecil serta komuniti yang harmoni.


"Namun rakyat masih berdepan pelbagai cabaran seperti kemudahan asas yang perlu dipertingkatkan, peluang ekonomi yang perlu diperluaskan, pembangunan belia serta isu kebajikan yang memerlukan perhatian berterusan," katanya pada sidang media hari ini.


Onn Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata tekad pertama ialah memastikan rakyat menikmati capaian Internet yang lebih baik selaras dengan keperluan era digital.


"Saya akan memperjuangkan penambahbaikan liputan Internet dan telekomunikasi di kawasan taman perumahan, kampung serta kawasan luar bandar supaya rakyat, pelajar, usahawan dan peniaga dapat menikmati akses internet yang lebih stabil untuk pendidikan, perniagaan dan urusan harian," katanya.


ONN ABU BAKAR bersalaman dengan penduduk ketika memenuhi jemputan walimatul urus keluarga Mohd Noh Jarmi dan Zanariah Kasmani sempena perkahwinan puteri mereka Nurul Suhaida dan pasangannya Mohamad Farid di Kampung Punggur Tengah, Rengit, 4 Julai 2026.
ONN ABU BAKAR bersalaman dengan penduduk ketika memenuhi jemputan walimatul urus keluarga Mohd Noh Jarmi dan Zanariah Kasmani sempena perkahwinan puteri mereka Nurul Suhaida dan pasangannya Mohamad Farid di Kampung Punggur Tengah, Rengit, 4 Julai 2026.

Bagi aspek keselamatan pula, beliau berkata pihaknya akan memperjuangkan penambahan serta penaiktarafan lampu jalan di kawasan kampung dan lokasi berisiko.


Usaha itu dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta membantu mencegah kejadian jenayah, katanya.


Beliau turut memberi komitmen untuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur termasuk menaik taraf jalan raya, longkang dan sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir serta kesesakan.


"Kemudahan infrastruktur yang baik memberi keselesaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi setempat.


"Saya akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf jalan raya, longkang dan sistem saliran bagi mengurangkan masalah kesesakan, banjir kilat serta impak air pasang besar yang sering membebankan penduduk di beberapa kawasan Senggarang," ujarnya.


Dalam pada itu, Onn Abu Bakar berkata pemerkasaan ekonomi tempatan akan terus menjadi antara agenda utama beliau sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.


"Ekonomi rakyat perlu terus diperkukuhkan. Saya komited membantu usahawan, peniaga, nelayan, petani dan pekebun melalui program latihan, akses kepada pembiayaan, pemasaran serta peluang perniagaan baharu supaya pendapatan rakyat dapat dipertingkatkan dan ekonomi tempatan terus berkembang," katanya.


ONN ABU BAKAR membantu menceduk air minuman pada program Jualan Rahmah di Kampung Seri Rejosari, Senggarang, 4 Julai 2026. Foto Ihsan Onn Abu Bakar melalui Facebook
ONN ABU BAKAR membantu menceduk air minuman pada program Jualan Rahmah di Kampung Seri Rejosari, Senggarang, 4 Julai 2026. Foto Ihsan Onn Abu Bakar melalui Facebook

Beliau turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, khususnya golongan belia, menerusi peluasan akses kepada TVET, pendidikan digital dan latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).


"Masa depan Senggarang bergantung kepada generasi mudanya. Saya akan memperluaskan peluang TVET, pendidikan digital serta latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) supaya anak-anak muda mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan," katanya lagi.


Mengulas aspek kebajikan, Onn Abu Bakar menegaskan bahawa tiada golongan yang akan dipinggirkan daripada arus pembangunan.


"Tiada rakyat yang harus dipinggirkan. Saya akan memperkasa peranan Pusat Khidmat Rakyat supaya lebih responsif, cekap dan mudah diakses.


"Saya juga akan memastikan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian serta tidak tercicir daripada bantuan dan program kebajikan kerajaan," katanya.


Beliau berkata, enam tekad itu merupakan komitmen untuk memastikan pembangunan Senggarang merangkumi aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


"Saya percaya, dengan kerjasama erat antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan, Senggarang mampu menjadi sebuah kawasan yang lebih moden, selesa didiami dan mempunyai ekonomi yang lebih kukuh tanpa mengetepikan nilai kemasyarakatan yang menjadi kekuatan kawasan ini.


"Justeru itu, saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Senggarang untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik. Bersama kita majukan Senggarang demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page