Tumpu isu ekonomi rakyat, bukan berdebat isu dalaman parti - Izuan Kasim
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Fokus terhadap isu ekonomi rakyat seharusnya mengatasi perbezaan pandangan dalaman parti, kata Muhammad Izuan Ahmad Kasim (gambar).
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia itu berkata, tiada guna memperdebatkan siapa betul atau salah dalam parti, apatah lagi mengungkit isu 10 atau 20 tahun lalu sebagaimana yang dilakukan mantan Timbalan Presiden KEADILAN. Sedangkan, katanya tumpuan terhadap ekonomi masih belum mencukupi hingga akhirnya rakyat yang akan menanggung kesan.
"Kalau kita lihat, apabila YB Rafizi mengeluarkan pandangan, ada juga pandangan lain yang merasakan ia satu keperluan. Namun, saya percaya itu bukan tumpuan utama kita ketika ini. Tumpuan utama, seperti yang ditekankan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ekonomi.
"Rakyat perlukan pembelaan. Rakyat perlu dibela kos sara hidupnya, bagaimana kos minyak dan diesel. Ini fokus utama kami daripada AMK untuk menjadi semak dan imbang.
"Ini kerana kita maklum AMK bukan hanya sekadar menterjemahkan atau menyampaikan maklumat daripada kerajaan, tapi kita juga menjadi semak dan imbang seperti (isu) tiga aktivis anak muda yang ditahan reman.
"Alhamdulillah mereka telah dilepaskan lebih awal dari tarikh sepatutnya. Ini antara perkara-perkara yang kami fokuskan berbanding dengan isu-isu bekas timbalan presiden kami," katanya ketika ditemui pemberita bagi mengulas isu perbezaan pandangan dalaman KEADILAN.
Beliau ditemui di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara yang diadakan di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara semalam.
Dalam pada itu, Izuan yang juga ADUN Kota Damansara turut merujuk kepada Fasal 5 dalam Perlembagaan KEADILAN yang dengan jelas menggariskan asas serta matlamat perjuangan parti.
"Kita kembali kepada Fasal 5 Perlembagaan KEADILAN, dan insya-Allah saya percaya kita akan menilai serta melakukan yang terbaik menjelang pilihan raya akan datang.
"Ini bukan soal sama ada menang jadi abu atau kalah jadi arang. Yang penting adalah tujuan kita dalam KEADILAN.
"Kita memastikan keadilan sosial, masyarakat terbela dan ekonomi terjaga sebagai antara fokus utama perjuangan parti," ujarnya lagi.




Comments