Tumpu industri, kegiatan ekonomi lonjak negara ke arah berpendapatan tinggi - Rafizi


Kerajaan Perpaduan akan menumpukan usaha ke arah mewujudkan industri atau kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan negara ke arah berpendapatan tinggi.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media pertamanya di Kementerian Ekonomi, pagi tadi.
"Bila kepimpinan Unit Perancang Ekonomi beri taklimat awal mengenai perancangan, sebenarnya masalah itu sudah sedia diketahui. Perlu ada fokus dalam perancangan. Maksudnya ada kesinabungan yang baik dari segi tumpuan untuk industri atau kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan kepada negara berpendapatan tinggi.
"Kita akan beri banyak fokus ke negeri yang buat masa sekarang tidak mengalami pertumbuhan yang baik, lebih ramai orang miskin. Juga tentang program pembasmian kemiskinan tegar dan sebagainya. Termasuk fokus kepada ekonomi berasaskan pengetahun," katanya.
Ditanya mengenai polisi yang akan diperkenalkan, Rafizi berkata, masih terlalu awal untuk berkata mengenai polisi dan mungkin sesuai dalam seminggu dua ke hadapan.
Mengenai usul yang pernah dibawa beliau ke Dewan Rakyat bahawa jawatan Perdana Menteri seharusnya diasingkan daripada Menteri Kewangan namun sebaliknya terjadi hari ini, Rafizi berkata, hal itu berlaku kerana keadaan Kerajaan Perpaduan itu sendiri yang sifatnya belum biasa diamalkan di Malaysia.
Maka tindakan agak luar biasa Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan perlu dilakukan untuk menghadapinya.
"Saya rasa ini adalah keadaan yang luar biasa. Kalau ikut pandangan saya secara idealnya kita pisahkan jawatan Menteri Kewangan dan PM dan pendirian itu kita tidak berubah.
"Kita berada dalam keadaan tak ada mana mana parti bentuk kerajaan bersendirian, pada masa sama kita perlukan pimpinan ekonomi yang kuat. Pada pandangan saya itu keputusan yang sukar, kerana bila kita ada gabungan yang masing masing bentuk kerajaan tentu setiap komponen mahu Menteri Kewangan di pihak mereka.
"Oleh kerana keadaan luar biasa keputuan itu sesuai buat masa sekarang, PM yang jadi Menteri Kewangan," katanya lagi.




Comments