Tumbuk pelajar: Jangan cemar imej Islam dengan keganasan
- Suara Keadilan
- Mar 17
- 1 min read

Kerajaan Selangor menyeru semua agamawan dan guru yang memegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam.
Exco Hal Ehwal Agama Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah sebagai mengulas insiden kekerasan dikaitkan dengan seorang individu berimej agamawan baru-baru ini berkata, golongan itu perlu menjauhi tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada agamawan atau guru.
"Berdasarkan siasatan awal yang diterima daripada pihak berkuasa, saya telah mengarahkan JAIS untuk memulakan semakan sekiranya agamawan atau guru tersebut memegang sebarang bentuk tauliah mengajar yang pernah diberikan MAIS.
"Sekiranya benar agamawan atau guru ini adalah pemegang tauliah MAIS maka tauliah ini wajar ditarik balik serta-merta dan beliau diharamkan daripada mengajar agama di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media pada Sabtu melaporkan penahanan seorang lelaki yang didakwa menumbuk seorang pelajar sekolah menengah hingga mengalami retak tulang hidung dalam satu insiden perselisihan jalan raya di Saujana Impian, Kajang, Selangor pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, seramai enam individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.
Sementara itu menurut Mohammad Fahmi, beliau merasa kecewa atas kejadian itu yang jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional dan berdasarkan asas perundangan yang berkuatkuasa.
"Saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru kerana mereka harus mengamalkan akhlak yang mulia agar dapat diteladani oleh masyarakat, terutamanya golongan muda.
"Segala tindakan harus berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional serta mengikut asas perundangan yang berkuatkuasa.
"Saya amat kecewa dengan tindakan ganas lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini," katanya lagi.
Comments