Tukar Speaker di pertengahan penggal memperleceh Parlimen?
- Redzuan Shamsudin
- Jul 9, 2020
- 1 min read

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengemukakan usul menukar Speaker Parlimen Tan Sri Mohamad Ariff Yusuf.
Katanya, usul memberhentikan perkhidmatan Ariff itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia dan seolah-olah tidak menghormati institusi tersebut.
"PH tegas pertahan kedudukan Speaker. Ada orang anggap pertukaran Speaker itu biasa. Mereka tidak faham sejarah Parlimen. Ada penganalisis, profesor kangkung tak kangkung saya tak kira.
"Tetapi kita lihat perubahan Speaker (sewajarnya) hanya di permulaan sidang kerana ada kekosongan. Jadi (kerajaan) bawa cadangan. Perubahan Speaker di tengah sidang tidak (pernah) berlaku.
"Kita anggap institusi Speaker itu penting, bukan sahaja dalam protokol tetapi dalam bidang kuasa (digniti) di Parlimen," katanya kepada media.
Bagi Anwar, Speaker sedia ada tidak wajar ditukar memandangkan beliau telah melaksanakan reformasi dengan baik melalui penubuhan pelbagai jawatankuasa Parlimen.
"Dalam Kes Ariff, beliau dianggap mantan hakim yang menjalankan tugas dengan baik.
"Kita lihat beberapa reformasi Parlimen yang belum pernah berlaku sebelum ini. Jawatankuasa pilihan Kaukus, jawatankuasa Parlimen. Latihan, hubungan dengan badan antarabangsa dan beri pendedahan kepada ahli parlimen muda, ini sentiasa berlaku.
"Oleh yang demikian kita sentiasa tegas dan keras mempertahankan kedudukan Tan Sri Ariff dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming," katanya lagi.
Comments