Rang Undang undang Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti amat penting bagi mengelakkan berlakunya huru hara politik.
Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Baharu) berkata, sebarang perubahan kerajaan mesti dilakukan dalam Dewan Rakyat dan bukannya secara konspirasi di luar.
"Kalau betul nak ambil alih kerajaan selepas pilihan raya, kita buat dalam Parlimen untuk buktikan sokongan.
"Kita tak buat di luar Parlimen kerana itu akan menyebabkan huru hara, umpan politik dan sebagainya. Itu yang kita nak tolak. Sekarang masanya untuk kita betulkan," kata Saifuddin dalam sesi perbahasan usul.
Menurut beliau, kesan Langkah Sharaton pada 2020 amat berat menyebabkan keadaan ekonomi dan sosial negara bertambah parah sepanjang 2 tahun lalu.
"Memang ada di kalangan kawan kawan kami yang khianat mandat rakyat. Apakah ada kesan baik? Tidak. Politik terus tidak stabil, ekonomi negara tidak membanggakan, rakyat terus terkesan, legitimasi kerajaan terus dipersoal. Ada ketika darurat terpaksa diisytihar untuk sambung nyawa dan hayat politik.
"Saiz kabinet XXXL sebab nak jamin sokongan kerajaan itu diteruskan. Habuan politik, jawatan GLC, semua akan dapat habuan," katanya.
Dalam ucapan itu juga Saifuddin mengucapkan penghargaan kepada pihak pemerintah yang berjaya melaksanakan Memorandum Kerjasama Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan dengan baik.
Katanya daripada 18 perkara 15 perkara telah diselesaikan dan dengan Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang akan diundi hari ini maka hanya berbaki dua lagi perkara.
"Hasil MoU ini beberapa perkara, sekarang 2 saja lagi belum terpaksana, setelah anti lompat ini kita sempurnakan. Iaitu had PM 10 tahun dan Akta Perkhidmatan Parlimen.
"Apakah RUU ini memenuhi semua yang kita hajatkan. Jawabnya tidak. Apakah ia sempurna, tidak. Apakah ia satu permulaan baik, jawabnya ya," kata Saifuddin lagi.
Comments