Majikan yang membawa masuk pekerja asing secara mengaut keuntungan atas angin, menjanjikan pekerjaan tetapi tiada kerja tersedia akan menerima akibat.
Bagi Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi mengelakkan kezalaiman ke atas mana mana manusia, biar pun warganegara asing.
"Pekerja asing kumpul duit untuk bayar permit. Kononnya dapat peluang bekerja di Malaysia. Bila sampai, rupanya kena tipu. Tiada kerja pun untuk mereka.
"Yang rugi? Pekerja asing. Habis kos untuk datang Malaysia dan bayar semua. Tapi tak dapat kerja. Yang untung? "Majikan" yang kononnya tawar kerja.
"Ini eksploitasi zalim yang melanggar hak asasi manusia. Di bawah Kerajaan MADANI, eksploitasi ini akan dimatikan," katanya di Facebook.
Menurut Menteri Komunikasi itu, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah bekerjasama dan akan mengambil tindakan sangat keras pada majikan yang memperdaya pekerja asing.
Beliau mengingatkan terdapat tujuh tindakan bakal menanti majikan yang terlibat dalam aktiviti tersebut.
"Tujuh tindakan akan diambil kepada majikan seperti ini termasuk bayaran penalti, baki kuota pekerja asing majikan yang masih berbaki dibatalkan dan menyenarai hitam majikan dari sebarang urusan di Jabatan Imigresen Malaysia.
"Tak cukup dengan itu, Kerajaan MADANI juga akan mengadakan Mesyuarat Khas Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada 16 Januari ini," katanya lagi.
Tegas beliau, semua inisiatif berkenaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang mendaulatkan kemanusiaan dan tanpa kompromi kedaulatan undang-undang negara.
Comments