Tujuh judul buku diharamkan susulan bimbang mudarat moral
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan menguatkuasakan Perintah Larangan terhadap tujuh judul buku susulan kebimbangan bahawa kandungannya boleh memudaratkan moral masyarakat serta mengganggu ketenteraman awam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, larangan itu diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Antara buku yang diharamkan ialah novel romantik-komedi popular Love, Theoretically karya penulis terlaris Ali Hazelwood.
Turut tersenarai dalam senarai larangan ialah Tuan Ziyad: Forbidden Love oleh Bellesa; Darlingku Mr. Cold Mafia oleh Nur Firsha Nadia Mohd Noor Kusairi (ShaDhia) dan Mischievous Killer oleh Aira Syuhairah Noradzan (Ariaseva).
Selain itu larangan sama dikenakan kepada The American Roommate Experiment oleh Elena Armas dan dua novel Shaz Johar iaitu Suhuf Abraham dan Kougar 2.
Sementara itu KDN menjelaskan bahawa langkah pengharaman ini merupakan satu bentuk kawalan dan pencegahan awal sebelum penerbitan-penerbitan tersebut memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Ia juga bertujuan memaklumkan kepada umum tentang penerbitan yang dianggap tidak sesuai untuk bacaan awam.
"Kerajaan komited untuk terus melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan, khususnya dalam usaha mengekang penyebaran elemen, fahaman atau gerakan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, KDN menegaskan bahawa sebagaimana peruntukan di bawah Subseksyen 7(1), Akta 301, segala bentuk pencetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran, serta pemilikan terhadap hasil penerbitan yang disenaraikan adalah dilarang sama sekali di Malaysia.
Comments